BERITA SEMASAKERAJAAN PERPADUAN

RT perlu terus diperkasa, jadi pemangkin keharmonian – Che Roslan

PUTRAJAYA – Institusi Rukun Tetangga (RT) perlu terus diperkasa sebagai penggerak utama keharmonian dan kesejahteraan dalam masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Che Roslan Che Daud berkata, penubuhan RT pada 29 Ogos 1975 di Kampung Kasipillay, Kuala Lumpur oleh Allahyarham Tun Abdul Razak adalah langkah proaktif kerajaan ketika itu bagi memulihkan perpaduan rakyat pasca tragedi 13 Mei 1969.

RT perlu terus diperkasa, jadi pemangkin keharmonian – Che Roslan
Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Che Roslan

Beliau berkata, dalam tempoh lima dekad, RT telah membuktikan keupayaannya sebagai institusi akar umbi yang sentiasa relevan dan berperanan besar dalam memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum.

“RT bukan sahaja satu mekanisme keselamatan pada asalnya, tetapi telah melalui pelbagai fasa evolusi untuk menjadi sebuah institusi pembangunan komuniti yang progresif dan inklusif.

RT perlu terus diperkasa, jadi pemangkin keharmonian – Che Roslan

“Kini, RT bukan sekadar melakukan rondaan, tetapi berperanan dalam membentuk kepimpinan komuniti, menyemai nilai perpaduan dan memperkasa masyarakat melalui pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, kesejahteraan dan warisan budaya,” katanya ketika merasmikan Program Kembara Jubli Emas Rukun Tetangga Peringkat Negeri, di sini hari ini.

Che Roslan berkata, RT kini beroperasi di bawah kerangka Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751) yang memberikan lebih fleksibiliti dan kecekapan kepada peranan serta pentadbiran RT agar selari dengan keperluan semasa masyarakat.

 

“Menerusi pendekatan ‘Pemerkasaan RT Sebagai Penggerak Komuniti Progresif’, lapan bidang tumpuan telah diperkenalkan bagi memacu perubahan dan mencerminkan peranan RT dalam menangani cabaran masa kini,” katanya lagi.

Beliau turut memaklumkan pelbagai program telah dirangka sempena sambutan Jubli Emas RT, termasuk Pameran 50 Tahun Rukun Tetangga, Kembara RT di enam negeri, sambutan khas di Kampung Kasipillay pada 29 Ogos serta Malam Apresiasi Perpaduan di peringkat kebangsaan.

Jelasnya, semua inisiatif itu bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan warga RT selain memperkukuh komitmen rakyat terhadap usaha membina negara yang bersatu padu.

“Kita mahu seluruh masyarakat sedar bahawa perpaduan ini bukan hanya slogan.

“Ia perlu dizahirkan melalui tindakan, kesungguhan dan penyertaan aktif dalam komuniti. RT ialah nadi penyatuan rakyat sejak dahulu lagi dan perlu terus diberi sokongan,” katanya lagi.

Che Roslan turut menyeru semua pihak, termasuk generasi muda agar terus berganding bahu memperkukuh peranan RT dalam membentuk komuniti harmoni dan berdaya tahan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button