91 peratus kes rogol bawah umur di Kedah libat hubungan suka sama suka
JITRA – Polis Kedah mendedahkan sebanyak 91 peratus daripada kes rogol bawah umur yang direkodkan di negeri itu melibatkan hubungan suka sama suka antara remaja.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, sebanyak 100 kes rogol bawah umur direkodkan dari Januari hingga September tahun ini, dengan 91 kes berlaku atas kerelaan kedua-dua pihak.
“Apabila kita sebut ‘suka sama suka’, ia bukan bermaksud tiada kesalahan. Ini menunjukkan wujudnya masalah sosial yang semakin parah dalam kalangan remaja kita. Sebab itu isu ini mesti ditangani secara menyeluruh,” memetik Astro Awani.
Beliau berkata, kebanyakan kes melibatkan remaja berusia 13 hingga 17 tahun yang menjalin hubungan tanpa pengawasan ibu bapa, termasuk keluar rumah pada waktu malam.
“Kalau anak berumur 13 atau 15 tahun masih keluar malam, ibu bapa perlu tanya ke mana mereka pergi dan dengan siapa.
“Kita perlu kembali kepada nilai masyarakat lama yang saling ambil tahu, bukan membiarkan anak bebas tanpa kawalan,” katanya lagi.
Beliau turut berkata, walaupun polis dan sekolah memperkukuh kerjasama susulan peningkatan kes salah laku pelajar, peranan ibu bapa kekal sebagai benteng utama pencegahan.
“Mesti ada keseimbangan. Ia bukan hanya tanggungjawab sekolah atau polis. Ibu bapa perlu memantau pergerakan anak serta penggunaan internet mereka.
Di Kedah sendiri, kes seperti ini semakin meningkat,” katanya lagi.
Bagi menangani isu tersebut, polis menempatkan pegawai perhubungan di sekolah-sekolah tertentu bagi mewujudkan hubungan rapat antara pihak berkuasa dan pelajar.
Selain itu, Unit Rondaan Bermotosikal (MPV) dan pasukan lain turut digerakkan ke 30 kawasan panas sekitar sekolah bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.
“Saya telah mengarahkan setiap balai berhampiran kawasan panas menugaskan anggota untuk memantau ketika waktu masuk dan keluar sekolah. Apabila pelajar melihat kehadiran polis bersama guru, mereka akan berasa lebih selamat.
“Kehadiran anggota beruniform turut berfungsi sebagai langkah pencegahan terhadap pihak yang berniat jahat, sambil mengingatkan bahawa pengawasan sosial perlu diperkukuh di semua peringkat,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






