RMK13: Pelan pemerkasaan ekonomi lebih kukuh, mampan dan inklusif
PEMBENTANGAN Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen hari ini dilihat sebagai pelan strategik untuk menjadikan ekonomi negara lebih kukuh, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Pensyarah Jabatan Ekonomi, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Muhammad Irwan Ariffin berkata, kejayaan RMK13 bergantung kepada keberhasilan tiga tunjang utama iaitu pemacuan sektor baharu bernilai tinggi, pengukuhan permintaan domestik dan pembangunan modal insan secara menyeluruh.

“RMK13 memberi fokus kepada sektor berimpak tinggi seperti ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, semikonduktor dan kenderaan elektrik (EV).
“Pendekatan ini penting untuk mengangkat Malaysia ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai global, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap eksport komoditi tradisional.
“Pengembangan sektor ini turut mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, menyokong pertumbuhan ekonomi dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi serantau,” katanya ketika dihubungi Malaysia Tribune.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RMK13 juga memberi penekanan terhadap pengukuhan permintaan dalam negara menerusi pelbagai inisiatif rakyat-centric seperti pembinaan sejuta rumah mampu milik, peluasan perlindungan sosial MADANI dan penyediaan 1.2 juta peluang pekerjaan baharu.
“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan isi rumah, malah merangsang pertumbuhan ekonomi dari dalam.
“Peluang pekerjaan berkualiti yang diwujudkan dalam sektor digital dan perkilangan berteknologi tinggi diharap mampu meningkatkan mobiliti sosial serta merapatkan jurang ketaksamaan pendapatan,” ujarnya.
Mengulas mengenai isu kos sara hidup, beliau menekankan peranan RMK13 dalam merangka penyelesaian jangka panjang menerusi tiga pendekatan utama iaitu pembinaan rumah mampu milik, penawaran pekerjaan berkualiti melalui TVET inklusif dan pengukuhan jaringan perlindungan sosial.

“Latihan kemahiran yang diperluaskan termasuk kepada pelajar tahfiz dan komuniti luar bandar berupaya menjadi pemangkin kepada pendapatan mampan.
“Pada masa sama, penambahbaikan skim bantuan bersasar serta perlindungan untuk pekerja gig dilihat mampu mengurangkan ketidakpastian hidup golongan rentan,” katanya.
Menyentuh isu bantuan tunai dan subsidi bersasar, beliau menjelaskan bahawa inisiatif itu berfungsi sebagai penampan jangka pendek namun menjadi asas penting bagi mobiliti sosial jangka panjang.
“Apabila bantuan tunai digabungkan dengan latihan, TVET dan peluang pekerjaan yang berkualiti, rakyat mampu berdikari dan kebergantungan terhadap bantuan akan berkurang secara beransur-ansur.
“Penstrukturan semula subsidi juga perlu dilihat sebagai insentif kepada tingkah laku positif seperti penggunaan tenaga secara cekap dan mobiliti pekerjaan. Subsidi harus dijadikan alat pembangunan, bukan sokongan kekal,” tegas beliau.
Dr. Irwan turut mengingatkan bahawa keberhasilan RMK13 sangat bergantung kepada pelaksanaan yang telus dan bebas ketirisan.
Beliau menggariskan tiga langkah kritikal yang perlu diberi tumpuan:
1. Penyelarasan bersepadu antara agensi pusat dan kerajaan negeri bagi mengelak pertindihan kuasa serta mempercepat aliran peruntukan.
2. Pemantauan berasaskan hasil dan KPI yang telus menerusi sistem bersepadu seperti PADU dan MyDigital agar setiap projek memberi impak sebenar.
3. Reformasi tadbir urus dan akauntabiliti agensi pelaksana supaya prestasi dinilai secara berkala dan tindakan tegas diambil terhadap kelemahan pelaksanaan.
Kesimpulannya, RMK13 bukan sekadar pelan lima tahun biasa, tetapi pelan pemerkasaan ekonomi yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan, keadilan sosial dan kelestarian.
“Dengan pelaksanaan yang berkesan dan sokongan menyeluruh pelbagai pihak, RMK13 berpotensi melonjakkan Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan berdaya tahan,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








