BERITA SEMASA

RMK-13: Kementerian Perpaduan kemuka permohonan pembangunan perpustakaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah mengangkat beberapa permohonan kepada Kementerian Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi pembangunan perpustakaan di Malaysia.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, permohonan itu merangkumi pembangunan ruang pembelajaran interaktif imersif di perpustakaan kanak-kanak PNM.

“Untuk KPN kita telah hantar kepada Kementerian Ekonomi menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan permohonan yang besar adalah untuk pembangunan ruang pembelajaran interaktif.

“Selain itu, permohonan juga melibatkan pemerkasaan kandungan digital melalui pendigitan dan konsolidasi kandungan secara efektif, pembangunan Platform u-Pustaka 2.0 dan menaiktaraf fasiliti auditorium, bilik serbaguna, bilik syarahan dan studio PNM.

“Seterusnya, menaik taraf perpustakaan kanak-kanak PNM dan perolehan tanah di Bagan Datok Perak untuk rancangan membina perpustakaan digital,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas menyempurnakan Majlis Malam Gemilang Anjung Bestari@PNM di Bangunan Anjung Bestari, PNM, Kuala Lumpur, malam semalam.

Terdahulu, Aaron mengumumkan semua perkhidmatan yang disediakan oleh PNM kini diletakkan di bawah satu bumbung, iaitu di Bangunan Anjung Bestari di sini, susulan Projek Pemusatan Perkhidmatan Perpustakaan.

Aaron berkata, projek yang diluluskan di bawah Rolling Plan Kedua Rancangan Malaysia ke-11 (RP2 RMKe-11) itu dilaksanakan dengan kos sebanyak RM12.8 juta.

“Antara ruang yang ditambahbaik adalah ruang bacaan individu dan kolaboratif diperbaharui dengan perabot adaptifdan warna yang lebih ceria.

“Zon siber turut dinaiktaraf dengan 48 komputer dan akses internet berkelajuan tinggi untuk menyokong pembelajaran dan penyelidikan.

“Zon Hipermedia Dewasa dikemas kini untuk menyediakan bahan multimedia interaktif dan hiburan, termasuk perkhidmatan Video On Demand (VOD),” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button