BERITA SEMASA

RM55 juta diperuntukan naik taraf Jalan Raya Tengah Barat – Alexander Nanta

KUALA LUMPUR– Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntukkan sebanyak RM55 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan di Jalan Raya Tengah Barat sepanjang tahun ini.

Menurut Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, peruntukan tersebut merangkumi kerja menaik taraf permukaan jalan, pemasangan lebih 385 batang lampu jalan serta penandaan garisan jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna.

“Dalam tahun 2025 ini, masih ada RM55 juta untuk kita buat tambah baik tahap jalan termasuklah pemasangan 300 lebih lampu jalan, 385 batang lampu dan garisan jalan,” katanya ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 di sini hari ini.

Pelaksanaan kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat dari sekarang sehingga hujung tahun, berdasarkan penilaian teknikal menerusi sistem Pavement Condition Assessment (PCA) yang digunakan kementerian.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa berdasarkan data yang dikumpulkan KKR, kos keseluruhan untuk membaiki semua jalan di negara ini mencecah RM4 bilion, namun memandangkan kekangan kewangan semasa, kementerian mengambil pendekatan berperingkat dan berfokus.

“Kalau kita nak elokkan semua jalan, kita memerlukan hampir RM4 bilion sebenarnya, tapi kita tak ada kewangan sebegitu, jadi kita akan buat secara berperingkat,” katanya

Tambah beliau, keutamaan diberikan kepada jalan yang dikenal pasti paling kritikal berdasarkan tahap kerosakan dan keperluan mendesak pengguna.

“Keadaan jalan yang rosak dah ada dalam data kami sebab itu ada yang rosak tapi tak berapa kritikal, kita kemudiankan sedikit yang penting kita buat yang kritikal dahulu,” jelasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa KKR sentiasa terbuka menerima pandangan orang ramai, termasuk dari rakyat dan pengguna jalan raya, dalam usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan infrastruktur negara.

“Kita ambil pandangan dari semua pihak, kita boleh lihat cadangan-cadangan yang diberikan, Kita pun boleh bincang tentang hal itu,” ujarnya.

Dalam majlis sama, warga KKR bersama agensi-agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan RLM Agency meraikan Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2025 dengan penuh kemeriahan dan semangat perpaduan.

Turut berkesempatan hadir ke majlis berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dalam kesibukan tugasan rasmi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button