
RM1.5 juta setahun lonjak pembangunan sepak takraw – Hannah Yeoh
KUALA LUMPUR – Pembangunan sukan sepak takraw negara memasuki fasa lebih dinamik apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta setahun kepada Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menerusi Program Pembangunan Sepak Takraw Negara (NSTDP).

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, peruntukan itu menjadi pemangkin penting dalam melahirkan bakat baharu dari peringkat akar umbi termasuk di kawasan luar bandar, komuniti Orang Asli dan dalam kalangan wanita yang semakin menunjukkan minat terhadap sukan tersebut.
“Melalui NSTDP, kita berpeluang membentuk generasi pemain berkaliber dunia sambil memastikan sepak takraw kekal sebagai sukan rakyat yang inklusif dan mudah diakses,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Menurutnya, pelaksanaan program itu turut mendapat kerjasama erat pelbagai agensi termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negeri.
“Bengkel NSTDP membuktikan komitmen menyeluruh semua pihak dalam usaha merealisasikan pelan pembangunan sukan ini,” katanya lagi.
Jelas Hannah, program tersebut akan dipantau rapi oleh jawatankuasa khas di bawah MSN bagi memastikan setiap ringgit yang dibelanjakan memberi pulangan dan impak maksimum kepada pembangunan sukan sepak takraw negara.
“Dengan struktur yang sistematik dan sokongan padu semua pihak, saya optimis Malaysia mampu melahirkan generasi pemain yang bukan sahaja berbakat, malah berdaya saing di peringkat tertinggi,” katanya lagi.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |