Ribut petir, hujan lebat dijangka berterusan hingga pertengahan Mei
KUALA LUMPUR – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang terutama pada waktu petang dan awal malam, dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan itu berlaku susulan fasa peralihan monsun yang sedang berlangsung sejak 25 Mac lalu.
“Sepanjang tempoh itu, tiupan angin lazimnya ringan dan berubah-ubah, sekali gus menggalakkan pembentukan cuaca buruk pada waktu petang atau malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Hisham, hujan pada awal pagi di beberapa kawasan di Semenanjung juga boleh berlaku sekiranya terdapat perubahan tiupan angin dari arah barat.
Beliau berkata, beberapa stesen cerapan utama mencatatkan jumlah hujan bulanan melebihi purata dalam beberapa hari kebelakangan ini.
“Kawasan yang terlibat termasuk Lembah Klang dan pantai timur Semenanjung, manakala kawasan lain berada pada paras purata atau di bawah purata bulanan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham menjelaskan fasa peralihan monsun berlaku dua kali setahun, iaitu dari Monsun Timur Laut ke Monsun Barat Daya antara Mac hingga Mei, serta dari Monsun Barat Daya ke Monsun Timur Laut antara September hingga November.
Beberapa minggu lalu, Lembah Klang khususnya Shah Alam di Selangor, dilanda hujan lebat dan angin kencang sehingga menyebabkan banjir kilat pada awal pagi.
Keadaan cuaca tidak menentu itu dilaporkan berlarutan hampir sebulan, dengan MetMalaysia menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka dengan ramalan cuaca serta mengambil langkah berjaga-jaga.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






