BERITA SEMASA

Ribuan sertai demo di Dataran Merdeka, suasana terkawal dipantau polis

KUALA LUMPUR – Ribuan peserta demonstrasi jalanan anjuran pembangkang bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan berarak dari beberapa lokasi di ibu negara sebelum berhimpun di Dataran Merdeka menjelang acara kemuncak petang ini.

Tinjauan Malaysia Tribune mendapati orang ramai yang mengenakan pakaian hitam mula berkumpul seawal 8.30 pagi di sekitar Masjid Jamek, kompleks beli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara.

Laluan utama di sekitar pusat bandar didapati lancar dengan kawalan polis trafik di laluan utama meskipun terdapat beberapa lencongan lalu lintas diadakan.

Di lokasi-lokasi tumpuan itu, sebahagian peserta turut mengambil peluang untuk barangan cenderahati seperti baju t-shirt, pengikat kepala dan topi.

Di pekarangan Masjid Jamek, orang ramai yang tiba dari luar Kuala Lumpur mula memenuhi kawasan itu sebaik selesai solat Subuh. Kawasan itu juga dikawal oleh anggota Jabatan Amal Malaysia PAS.

Di lokasi utama seperti Pasar Seni, Sogo dan Majid Jamek, perhimpunan orang ramai dipantau oleh puluhan anggota polis yang ditugas memantau keselamatan dan kelancaran perhimpunan.

Turut kelihatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang turut menempatkan ambulans di hadapan Stesen LRT Masjid Jamek.

Di Sogo, sekitar pukul 11 pagi, dianggarkan lebih 1,000 peserta berhimpun dan mendengar ucapan daripada beberapa pemimpin PAS, termasuk Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Perarakan peserta dari pelbagai lokasi menuju ke Dataran Merdeka bermula kira-kira pukul 1 petang.

Antara tokoh politik yang kelihatan hadir termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad serta bekas Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, yang sebelum itu berada di Masjid Negara sebelum menyertai peserta lain.

Sehingga kini, suasana perhimpunan dalam keadaan terkawal dengan kehadiran pihak polis yang terus memantau perkembangan semasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button