Revolusi TVET, pindaan Akta 652 perkenal tiga Sijil Pakar Kebangsaan
KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 [Akta 652], sekali gus memperkukuh pengiktirafan kemahiran dan kepakaran tenaga kerja Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, pindaan itu menunjukkan komitmen Kerajaan MADANI melalui Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) untuk memperkukuh ekosistem TVET dan memastikan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) kekal relevan serta responsif terhadap keperluan industri baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), automasi, teknologi hijau dan semikonduktor.
Beliau berkata, pindaan Akta 652 memperkenalkan tiga kategori sijil pakar baharu iaitu Pakar Kemahiran, Pakar Kemahiran Kanan dan Perunding Kemahiran bagi mengiktiraf pengalaman serta kepakaran pekerja tempatan setaraf piawaian antarabangsa.
“JPK kini boleh mengiktiraf latihan frontier termasuk AI, automasi, semikonduktor dan teknologi hijau untuk tujuan pembiayaan oleh Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pindaan itu juga memperkenalkan Sijil Kemahiran Modular Malaysia (SKMM) sebagai laluan fleksibel dan modular bagi pembelajaran sepanjang hayat.
“Langkah ini memberi peluang kepada pekerja, belia dan golongan dewasa meningkatkan kemahiran melalui program micro-credential dengan kos rendah,” katanya lagi.
Tambahan empat keanggotaan baharu turut dimasukkan dalam Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK) bagi memastikan tadbir urus lebih inklusif, manakala tempoh pentauliahan dilanjutkan daripada tiga tahun kepada maksimum enam tahun dengan tatacara baharu bagi penggantungan dan pembatalan sijil.
“Pindaan akta ini merupakan revolusi TVET kerana ia mengangkat keringat dan kepakaran tenaga mahir Malaysia ke pentas lebih tinggi, selaras dengan aspirasi melahirkan tenaga kerja berkelas dunia,” katanya.
Beliau turut berkata, melalui JPK, ekosistem TVET negara akan berkembang secara mampan, berdaya saing dan lebih inklusif.
“Usaha ini selaras dengan visi Kerajaan Madani menjadikan TVET sebagai pendidikan arus perdana serta melahirkan rakyat berkemahiran tinggi, menjadikan Malaysia hab TVET serantau menjelang 2030 dan kompetitif di peringkat global menjelang 2050,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








