
Remaja OKU hilang ditemui lemah di Kampung Permatang Pasir
MELAKA – Seorang remaja lelaki orang kurang upaya (OKU) pembelajaran yang dilaporkan hilang ketika mencari lembu sejak Rabu lalu ditemui dalam keadaan lemah di kawasan semak Kampung Permatang Pasir, awal pagi di sini, hari ini.
Mangsa, Muhamad Aidil Asyraf Fadli, 15, dijumpai kira-kira pukul 2.08 pagi oleh pasukan penyelamat di belakang sebuah rumah penduduk kampung, kira-kira 600 meter dari Pos Kawalan Operasi (PKO) yang didirikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Tinggi Omera Omar, Aidil ditemui dalam keadaan selamat namun lemah, dan menerima rawatan awal oleh pasukan perubatan yang turut hadir ke lokasi.
“Mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan operasi mencari serta menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada pukul 3.52 pagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintenden Halim Abas memaklumkan penemuan mangsa hasil maklumat daripada penduduk kampung yang terdengar suara mengerang dari kawasan semak berhampiran.
“Anggota Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) yang sedang meronda di sekitar Jalan Sidang Hashim segera ke lokasi bersama penduduk dan mendapati mangsa sedang terbaring di bawah sebatang pokok,” jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem turut mengesahkan perkembangan itu menerusi satu hantaran di media sosial dan menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian.
“Alhamdulillah, adik Aidil sudah dijumpai. Jangan tanya macam mana jumpa, tengok sajalah ramai buat siaran langsung,” katanya menerusi akaun media sosialnya.
Terdahulu, laporan kehilangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan selepas dia dilaporkan tidak pulang ke rumah.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |