
Remaja 14 tahun hampir putus jari akibat mercun
MACHANG – Seorang remaja menjadi mangsa pertama kes mercun apabila sebahagian jari hantunya putus manakala jari telunjuk tangan kanannya cedera ketika bermain mercun bola di Batu 23, Jalan Sawmill, Labok di sini semalam.
Menurut ibu tiri mangsa, Siti Zuraini Muhammad, 24, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 8 malam itu turut menyebabkan kedua-dua jari Adam Aiman Noor Kamarul Azwan, 14, patah.
Tambah Siti Zuraini, anaknya kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai, lapor Kosmo Online.
“Saya menyedari kejadian itu selepas dimaklumkan oleh sepupunya. Adam Aiman bermalam di rumah sepupunya di kampung sama pada malam tadi.
“Dia pada awalnya menyembunyikan kesakitan yang dialaminya selepas kejadian. Sepupunya menyedari jari Adam Aiman putus selepas melihat kesan darah pada tilam di dalam bilik semasa mengejutnya untuk bersahur,” katanya dalam laporan berkenaan.
Difahamkan, Adam Aiman tidak sempat melempar mercun bola itu sebelum ia meletup.
Siti Zuraini memberitahu, dia kemudian membawa anaknya ke Hospital Machang di sini sebelum dihantar ke HSIP untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, sebelum kejadian, Adam Aiman ada meminta wang daripadanya dengan alasan untuk membeli kuih untuk juadah berbuka.
“Saya beri RM10 kerana kebetulan tiada duit kecil. Saya sudah mengesyaki Adam Aiman membeli mercun kerana dia tidak memulangkan wang baki selepas membeli kuih,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |