
RAYS 2025 perkasa kepimpinan belia demi kelestarian alam
KUCHING – Sarawak terus mengukuhkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dengan penganjuran Rainforest Youth Summit (RAYS) 2025, yang bakal menghimpunkan belia dari seluruh ASEAN bagi membincangkan isu alam sekitar dan tindakan masa depan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, RAYS bukan sekadar satu persidangan, tetapi gerakan penting bagi membentuk pemimpin masa depan dalam bidang kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, hutan hujan yang dimiliki bukan hanya sekadar warisan untuk dinikmati, tetapi tanggungjawab yang perlu dipelihara demi generasi akan datang.
“Belia adalah pemimpin masa depan yang akan menentukan bagaimana usaha penjagaan alam sekitar dapat dilaksanakan secara berkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bertemakan “Living Landscapes: Charting a Sustainable Future”, RAYS 2025 akan berlangsung pada 18 hingga 20 Jun di Hikmah Exchange Centre, Kuching.
Persidangan itu dijangka menarik lebih 300 peserta dari seluruh ASEAN, termasuk pemimpin alam sekitar, aktivis kelestarian serta pakar dalam pengetahuan masyarakat peribumi.
Antara tokoh yang akan hadir menyampaikan perkongsian ialah Zoya Miari, Prachi Shevgaonkar, Mitzi Jonelle Tan dan Larissa Crawford, selain pakar serantau seperti Joshua Anak Belayan dan Dr. Ahmad Zafir Abdul Wahab.
Selain sesi perbincangan, RAYS 2025 turut menampilkan bengkel amali, latihan advokasi dan Majlis Penyalaan Obor RAYS sebagai simbol kesatuan dalam memperjuangkan kelestarian alam sekitar.
Menurut Abdul Karim, penganjuran RAYS 2025 turut mendapat sokongan daripada ASEAN, Pacific Asia Travel Association (PATA) dan UN Tourism dengan PATA memainkan peranan dalam menggalakkan penyertaan pelajar dari seluruh rantau.
Jelasnya, Sarawak mahu menjadi pusat pertukaran ilmu dan inovasi lestari, sekali gus mengukuhkan kedudukan negeri itu di pentas global sebagai pemacu perubahan.
Bagi memastikan lebih ramai belia dapat menyertai persidangan ini, pihak penganjur memperkenalkan beberapa kategori pendaftaran dengan harga yang lebih mampu milik.
Pendaftaran ASEAN ditetapkan pada kadar RM300, manakala pendaftaran alumni ditawarkan pada harga RM250.
Selain itu, pas berkumpulan untuk lima peserta atau lebih disediakan pada harga RM230 seorang, sementara peserta antarabangsa dari luar ASEAN boleh mendaftar dengan bayaran RM500.
Setiap tiket memberi akses penuh kepada seminar, bengkel dan sesi rangkaian serta kemasukan ke Hari Pertama Rainforest World Music Festival 2025.
Abdul Karim turut menyeru belia dari Sarawak, Malaysia dan seluruh ASEAN untuk mengambil bahagian dalam persidangan ini.
Beliau berkata, belia adalah denyut nadi perubahan, di mana tindakan mereka hari ini akan menentukan masa depan planet ini.
“RAYS 2025 adalah peluang terbaik untuk belia menyumbangkan idea, mendapatkan ilmu dan menyertai pergerakan global dalam usaha melestarikan alam sekitar,” katanya lagi.
Pendaftaran kini dibuka dan pihak penganjur mengalu-alukan penyertaan lebih ramai belia untuk bersama-sama menjayakan usaha kelestarian ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |