
Rashford sertai Aston Villa hingga tamat musim
MANCHESTER – Penyerang Manchester United, Marcus Rashford membuat keputusan untuk menyertai Aston Villa secara pinjaman selepas dia disisihkan di Old Trafford sejak pertengahan Disember tahun lalu.
Rashford yang kini berusia 27 tahun telah membuat 60 penampilan bersama England dan akan bersama Villa sehingga penghujung musim ini.
“Saya bernasib baik kerana beberapa kelab menghampiri saya, tetapi Aston Villa adalah keputusan yang mudah. Saya sangat mengagumi cara Aston Villa bermain musim ini dan cita-cita pengurusnya.
“Saya hanya mahu bermain bola sepak dan sangat teruja untuk mula bermain.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Manchester United dan Aston Villa kerana menjayakan perjanjian pinjaman ini… Saya doakan yang terbaik untuk semua di Manchester United bagi baki musim ini,” kata Rashford menerusi satu hantaran di media sosial milik beliau.
Untuk rekod, Rashford telah menjaringkan 138 gol dalam 426 penampilan untuk Manchester United dari akademi kelab tersebut dan menyertai pasukan senior pada 2016.
Bagaimanapun, penyerang yang telah memenangi Liga Europa, dua Piala FA dan dua Piala Lig bersama United itu tidak beraksi untuk United sejak pertengahan Disember selepas mengakui bahawa beliau bersedia untuk mencabar dirinya dengan cabaran baru dalam kariernya.
Pengurus United, Ruben Amorim telah mempersoalkan etika kerja penyerang itu dan mempertahankan keputusannya untuk sekali lagi mengeluarkannya daripada skuad mereka dalam kemenangan ke atas Fulham bulan lalu.
Amorim mengatakan dia lebih rela meletakkan jurulatih penjaga gol di bangku simpanan daripada pemain yang tidak memberikan usaha sepenuhnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |