Rakyat Malaysia cedera dipijak di depan Kaabah
SEPANG – Dua rakyat Malaysia yang mencipta sejarah memulakan misi berjalan kaki ke Mekah pada awal Februari lalu cedera dipijak oleh kumpulan jemaah di depan Kaabah, kelmarin.
Shamsul Azrin Man, 43, berkata, kejadian itu berlaku selepas dia dan Muhammad Farhan Khadid, 34, selesai membacakan kiriman doa yang dihantar oleh keluarga dan sahabat serta mencium Hajarul Aswad sekitar pukul 2 pagi waktu Malaysia.
“Selepas menunaikan solat Isyak dan solat sunat, saya bersama Acik (Farhan) bergegas ke arah dinding Kaabah untuk berdoa dan memohon segala kebaikan buat mereka yang telah membantu sepanjang perjalanan kami ke Mekah.

“Namun, sewaktu beredar dari kawasan tersebut, ribuan jemaah mula menyerbu untuk mencium Hajarul Aswad dan berdoa di dinding Kaabah sekali gus merempuh kami berdua.
“Rempuhan itu menyebabkan kami terpisah dan jatuh ke lantai,” kata Shamsul Azrin, memetik kenyataannya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya lagi, dia bersyukur kerana ketika kejadian ada seorang jemaah Arab datang membantu untuk mengangkat Farhan yang masih terbaring di lantai manakala dirinya bernasib baik kerana hanya dipijak beberapa jemaah sahaja.
Akibat kejadian itu, Farhan yang mengalami kecederaan serius di bahagian lutut, kaki dan paha, segera dikejarkan ke hospital berdekatan Masjidil Haram untuk mendapatkan rawatan.
“Semoga Acik (panggilan Farhan) segera sembuh dan dapat kembali melaksanakan ibadah dengan tenang,” katanya.

Menurut perancangan, kedua-dua sahabat itu akan kembali ke Malaysia pada 30 Mac ini setelah menyelesaikan ibadah mereka di Mekah.
Terdahulu, Shamsul Azrin dan Muhammad Farhan telah memulakan perjalanan berjalan kaki ke Mekah pada 3 Februari lalu, bermula dari Masjid Abdullah Fahim di Kepala Batas, Pulau Pinang hingga ke Hatyai.
Kemudian mereka meneruskan perjalanan ke Bangkok dan menaiki penerbangan ke Jeddah untuk ke Madinah dan setelah itu ke Mekah bagi menunaikan umrah sepanjang Ramadan tahun ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
