BERITA SEMASALUAR NEGARA

Rakyat Korea Selatan kembali mengundi selepas penggulingan Presiden Yoon

SEOUL – Rakyat Korea Selatan hari ini keluar mengundi bagi memilih presiden baharu dalam satu pilihan raya mengejut yang diadakan susulan pemecatan bekas Presiden, Yoon Suk Yeol.

Suk Yeol mencetuskan kontroversi selepas cubaan beliau untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada Disember lalu gagal dan mencetuskan krisis politik besar di negara itu.

Menurut laporan media, pilihan raya yang berlangsung pada hari ini dilihat sebagai detik penting dalam usaha memulihkan kestabilan politik negara selepas enam bulan berdepan kebuntuan pentadbiran dan protes rakyat.

“Hampir 29,000 anggota polis dikerahkan ke lebih 14,000 pusat mengundi di seluruh negara bagi memastikan proses pengundian berlangsung aman dan lancar.

“Antara calon yang dijangka menjadi pilihan utama rakyat ialah Lee Jae-myung daripada Parti Demokratik, yang sebelum ini tewas tipis kepada Yoon pada pilihan raya 2022,” menurut laporan itu.

Sementara itu, Jae-myung menawarkan gagasan untuk membentuk sebuah “Republik Korea yang sebenar”, berteraskan keadilan sosial, pengurangan jurang ekonomi dan penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Pesaing utamanya, Kim Moon-soo dari Parti Kuasa Rakyat, pula membawa suara konservatif dengan penekanan kepada pertumbuhan ekonomi, daya saing perniagaan serta hubungan erat dengan Amerika Syarikat,” menurut laporan itu lagi.

Krisis politik bermula pada 3 Disember 2024 apabila Suk Yeol mengisytiharkan undang-undang tentera dan mengarahkan tentera mengepung bangunan Parlimen bagi mengekang desakan penentangnya.

Namun, langkah tersebut segera ditolak oleh Parlimen yang kemudiannya meluluskan usul pemecatan beliau. Yoon ditahan sebulan kemudian dan Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatannya pada April lalu.

Pilihan raya kali ini turut berlangsung dalam bayang cabaran besar yang menanti presiden baharu.

Antaranya ialah hubungan tegang dengan Korea Utara, peningkatan risiko keselamatan serantau, kadar kelahiran yang kian menurun, serta tekanan perdagangan dari Amerika Syarikat dan China.

Keputusan rasmi pilihan raya dijangka diumumkan beberapa jam selepas pusat mengundi ditutup pada pukul 8 malam waktu tempatan.

Pilihan raya itu dilihat bukan sekadar penentuan kuasa, tetapi juga ujian kepada daya tahan demokrasi Korea Selatan dalam mendepani pergolakan politik secara aman dan berperlembagaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button