BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

79 rakan strategik warnai HAWANA 2025, bukti sokongan korporat semakin kukuh – Fahmi

KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025 menerima suntikan komitmen yang lebih kukuh apabila seramai 79 rakan strategik mengesahkan penglibatan mereka, menjadikannya antara edisi dengan penyertaan penaja tertinggi.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peningkatan jumlah rakan strategik itu bukti keyakinan sektor korporat terhadap peranan penting media dalam masyarakat serta potensi besar acara ini sebagai platform kolaboratif nasional.

“Jika dibandingkan dengan 44 rakan strategik pada tahun lalu, perkembangan ini amat menggalakkan dan menjadi indikator bahawa dunia korporat semakin menghargai jasa dan pengaruh pengamal media, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Bersama Rakan Strategik HAWANA 2025 di Wisma Bernama, hari ini.

Baca juga : Fahmi Fadzil ucap sambutan Hari Wartawan Nasional

Dalam majlis sama, Fahmi menyempurnakan pelancaran MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio, studio siaran bergerak pertama agensi itu yang dilengkapi kemudahan lengkap untuk pelaporan berita di lapangan.

Fahmi menyempurnakan pelancaran MOTORHOME-BERNAMA Mobile Studio. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Kenderaan canggih berkapasiti enam penumpang itu menampilkan studio mini serta ruang kerja wartawan, menjadikannya bukan sahaja unit berita bergerak tetapi juga studio rakaman audio siar mudah alih yang dinamik.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, sumbangan yang diterima termasuk dalam bentuk tunai, barangan, perkhidmatan (penajaan in-kind) dan tajaan kontra, sekali gus memperkukuh pelaksanaan pelbagai program di bawah HAWANA 2025.

HAWANA 2025, yang akan berlangsung dari 13 hingga 15 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) dijangka menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media tempatan dan serantau termasuk wakil-wakil persatuan wartawan dari negara-negara ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan majlis kemuncaknya pada 14 Jun.

Pelbagai program sampingan dirancang termasuk Forum Media anjuran bersama Institut Akhbar Malaysia (MPI), karnival serta pameran HAWANA di Sunway Putra Mall, sukan media berunsurkan permainan tradisional, serta siri jelajah ke politeknik-premier di Selangor, Perak dan Johor.

Tema dan logo rasmi sambutan HAWANA 2025 turut diumumkan dalam majlis perasmian hari ini, yang menyaksikan kehadiran wakil-wakil utama daripada syarikat penaja dan rakan strategik.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bagi memperingati penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, sebagai simbolik pengiktirafan terhadap peranan wartawan dan industri media dalam membentuk masyarakat bermaklumat serta mendorong perubahan positif.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button