BERITA SEMASA

Raja Zarith Sofiah kongsi nukilan sempena ulang tahun kelahiran Tunku Ismail

JOHOR BAHRU – Sempena ulang tahun kelahiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke-41 semalam, Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah menzahirkan nukilan istimewa buat putera sulungnya itu.

Dalam satu catatan yang penuh kenangan dari Istana Bukit Serene itu, Baginda membawa pembaca menyusuri detik-detik seorang ibu menyambut kelahiran cahaya mata pertama yang kini merupakan pewaris takhta negeri Johor.

“Kelahiran anak sulung membawa pengalaman baharu yang penuh dengan kegembiraan bagi semua ibu bapa. Begitu juga saya dan suami,” titah Baginda melalui hantaran yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim.

Wajah comel Tunku Ismail ketika masih kanak-kanak.

Mengenang kembali saat kelahiran bertarikh 1 Syawal iaitu pada Hari Raya Aidilfitri, Raja Zarith Sofiah menceritakan bahawa Sultan Ibrahim ketika itu sedang menziarahi keluarga apabila menerima berita gembira kelahiran putera sulung mereka, Tunku Ismail.

“Sebagai ibu bapa, buat kali pertama kami menyambut kelahiran putera sulung dengan penuh kegembiraan serta bersyukur kepada Allah SWT.

“Banyak kenangan manis semasa zaman kanak-kanaknya, seiring dia membesar bersama adik-adiknya,” kata Baginda lagi.

Salah satu detik yang diingati ialah ketika menghantar Tunku Ismail ke tadika buat pertama kali di mana ia menjadi pengalaman yang cukup menyentuh hati seorang ibu.

“Dia tidak mahu saya meninggalkannya, jadi saya berdiri di tingkap kelas selama mana saya dibenarkan,” kongsi Baginda lagi.

Sultan Ibrahim bersama putera sulungnya, Tunku Ismail yang merupakan pewaris takhta Johor.

Dalam nukilan itu, Baginda juga menyentuh fasa mencabar ketika Tunku Ismail menjalani latihan sebagai kadet dan pegawai tentera di India.

Namun, kehadiran keluarga angkat di Dehradun yang menerima putera mereka dengan kasih sayang memberikan ketenangan kepada hati ibu bapa.

Menariknya, Raja Zarith Sofiah turut mengimbas sisi peribadi Tunku Ismail sebagai seorang anak yang meminati permainan video, terutamanya siri FIFA di konsol Playstation.

“Saya akan bertanya kepadanya, ‘Ini game apa? Apa yang Teak perlu buat?’ dan dia akan menjawab, ‘Teak mesti pilih pengurus bola sepak dan pilih pemain untuk pasukan Teak.’

“Saya tidak pernah terfikir bahawa suatu hari nanti dia akan merealisasikan permainan itu dalam kehidupan sebenar!” ujar Baginda, merujuk kepada penglibatan aktif Tunku Ismail dalam pembangunan bola sepak Johor dan pasukan JDT.

Menutup nukilan penuh nostalgia itu, Raja Zarith Sofiah memanjatkan doa agar putera sulungnya itu terus diberkati Allah SWT dengan kesihatan, kebahagiaan dan kebijaksanaan dalam memimpin rakyat Johor.

“Kami memohon kepada Allah agar membimbingnya, mengurniakan banyak tahun yang bahagia bersama isteri dan anak-anaknya dan semoga dia dikurniakan kebijaksanaan untuk mengasihi dan menjaga rakyat Johor,” nukil Baginda.

Catatan itu bukan sahaja menyentuh hati rakyat Johor, malah mencerminkan kasih seorang ibu terhadap anaknya yang kini bergelar pemimpin masa depan.

Ia menjadi bukti bahawa di sebalik protokol istana dan gelaran diraja, kasih sayang seorang ibu tetap bersifat sejagat, lembut, mendalam dan tidak pernah pudar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button