Raja Muda Perlis rasmi Lorong Angkat MADANI, sumbang bantuan kepada asnaf
KUALA PERLIS – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan Lorong Angkat MADANI Gerakan Koperasi di Kampung Warna Warni, Seberang Ramai di sini, semalam.
Majlis penuh simbolik itu turut diserikan dengan program kayuhan santai melibatkan lebih 120 peserta yang diketuai sendiri oleh baginda melalui lorong berkenaan, sekali gus menzahirkan sokongan padu terhadap inisiatif pembangunan komuniti luar bandar.
Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu turut menyaksikan baginda menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada 100 asnaf di Kampung Warna Warni.
Dalam usaha menceriakan persekitaran dan meningkatkan kualiti hidup penduduk sebanyak 25 penduduk Kampung Tandiap turut menerima sumbangan keperluan mengecat rumah menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) SKM.
Menurut Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B), program itu bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat, malah mampu memperkukuh peranan koperasi dalam pembangunan sosioekonomi rakyat.
Sementara itu, Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) yang diadakan di Dataran Semarak mendapat sambutan menggalakkan apabila menawarkan barangan keperluan harian dengan harga potongan sehingga 20 peratus kepada penduduk setempat khususnya golongan B40.
Orang ramai turut berpeluang mengunjungi pameran agensi-agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang memberi pendedahan mengenai peluang keusahawanan serta peranan koperasi dalam menjana pendapatan komuniti.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Datuk Rusli Jaafar, Pengarah SKM Perlis, Zaid Abu Bakar serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






