BERITA SEMASA

Rafizi sarankan pelajar lepasan SPM pertimbang kerjaya akauntan bertauliah

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyarankan agar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mempertimbangkan untuk menceburi kerjaya sebagai akauntan bertauliah.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, Rafizi memaklumkan bahawa Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi yang ditugaskan untuk melahirkan lebih ramai profesional Bumiputera, dengan tumpuan khusus pada bidang perakaunan.

Menurut beliau, jumlah pengambilan pelajar lepasan SPM bagi program akauntan bertauliah ditingkatkan kepada 1,500 orang setahun, berbanding 500 sebelum ini.

“Pelajar yang terpilih akan menerima pembiayaan penuh dan melanjutkan pengajian di kolej-kolej profesional seperti Sunway University, INTEC Shah Alam dan Tymba. Jika lulus semua peperiksaan tanpa gagal, mereka boleh mula bekerja sebagai akauntan bertauliah seawal usia 21 tahun,” katanya.

Rafizi berkata dilema biasa dalam kalangan pelajar dan ibu bapa selepas keputusan SPM diumumkan adalah memilih bidang pengajian yang sesuai.

“Ramai memilih berdasarkan minat, tetapi saya nasihatkan agar imbangi minat dengan prospek kerjaya. Sebab itu saya sarankan menjadi akauntan bertauliah seperti saya sendiri,” katanya.

Tambah beliau, meskipun berlatar belakang sains tulen dan memiliki ijazah kejuruteraan elektrik dan elektronik, beliau memulakan kerjaya sebagai auditor dan akauntan bertauliah.

“Kerjaya ini tidak memerlukan pelajar belajar perakaunan di peringkat sekolah atau universiti. Malah, ijazah perakaunan juga tidak wajib. Yang penting, lulus peperiksaan badan profesional seperti ICAEW atau ACCA,” jelasnya.

Beliau menegaskan industri kewangan dan perakaunan amat mengutamakan kelayakan profesional berbanding latar akademik semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button