Rafizi letak jawatan Ahli Jawatankuasa Pemilih – Speaker Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli sudah meletakkan jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat, minggu ini.
Menurut Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang juga presiden PKR, sudah menamakan Ahli Parlimen Port Dickson, Aminuddin Harun bagi menggantikan Rafizi, lapor FMT, hari ini.
“Rafizi menyerahkan surat peletakan jawatannya minggu ini,” kata Johari.
“Seseorang perlu melaksanakan tugas itu dan presiden parti menamakan Menteri Besar Negeri Sembilan (Aminuddin).”
Terdahulu, Dewan Rakyat meluluskan usul dibawa Timbalan Menteri Undang-Undang, M. Kulasegaran untuk melantik Aminuddin ke jawatankuasa itu.
Usul berkenaan diluluskan melalui undian suara.
Jawatankuasa tersebut, yang dipengerusikan Johari, turut dianggotai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Semua enam ahli jawatankuasa itu memegang jawatan kepimpinan pusat dalam parti masing-masing.
Peranan jawatankuasa tersebut adalah melantik Ahli Parlimen ke beberapa jawatankuasa pilihan khas Parlimen.
Rafizi meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi Mei lalu selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan timbalan presiden PKR.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








