
Putrajaya bakal dibangunkan sebagai Kota Madani berteknologi hijau
PUTRAJAYA — Putrajaya bakal dibangunkan sebagai Kota Madani dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital yang cekap serta sistem mobiliti hijau menjadikannya model bandar masa depan berasaskan nilai kemampanan dan kesejahteraan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, konsep pembangunan Kota Madani itu telah dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
“Pembangunan ini merupakan pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai Madani dan selari dengan visi Bandar Chase,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Projek berkeluasan 102 ekar itu bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi secara vertikal yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk.
Pada 1 Januari lalu, Dr Zaliha memperkenalkan visi Bandar Chase bagi mentransformasi ketiga-tiga Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Ia akan diiktiraf sebagai bandar yang Clean, Healthy, Advanced, Safe dan Eco-Friendly.
Jelas beliau, Kota Madani akan menjadi asas kepada pembangunan bandar rendah karbon yang menjunjung prinsip kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan awam.
“Insya-Allah, majlis pecah tanah dijadual berlangsung pada 26 Jun ini. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas keyakinan dan pandangan bernas dalam memperhalusi hala tuju strategik Kota Madani sebagai pencetus pembaharuan ruang bandar yang lebih manusiawi dan progresif,” katanya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |