Putin pertimbang hadir Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia Oktober ini – PM
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Presiden Rusia, Vladimir Putin berkemungkinan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung pada Oktober ini.
Anwar berkata, perkara tersebut dizahirkan sendiri oleh Presiden Putin kepadanya di Beijing bahawa beliau serius mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia.
“Presiden Trump sendiri menghubungi saya dan mengesahkan akan hadir bulan Oktober. Manakala Presiden Putin pula menyatakan secara terus kepada saya di Beijing bahawa beliau serius mempertimbangkan untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Jubli Emas ke-50 Ambank Group, di sini malam tadi.
Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta Perdana Menteri China, Li Qiang sudah pun mengesahkan penyertaan mereka dalam sidang berkenaan, sekali gus menyediakan ruang diplomasi melalui pertemuan pemimpin kuasa besar dunia.
Menurut beliau, kehadiran pemimpin besar dunia itu menggambarkan Malaysia tetap diiktiraf meskipun ketika ini dunia sedang berdepan pelbagai cabaran.
“Ini adalah masa penuh dugaan. Namun, saya kekal optimis kerana kita memiliki daya tahan.
“Kita perlu memperkukuh ketahanan ekonomi dan juga kekuatan dalam negeri. Tidak ada sebab kita tidak mampu mengatasinya kerana asas kita sudah pun kukuh,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








