BERITA SEMASA

Putera MTD lahir pemimpin masa depan

SUNGAI BESI – Maktab Tentera Diraja (MTD) terus melahirkan generasi pemimpin masa depan apabila sekumpulan putera berjaya menamatkan latihan mereka dalam satu perbarisan penuh istiadat yang berlangsung di sini, hari ini.

Majlis penuh istiadat itu disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar yang menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian para putera.

“Hari ini bukan sekadar perbarisan tamat latihan, tetapi satu simbolik kepada kejayaan anak muda yang telah ditempa dengan nilai kepimpinan, disiplin serta keberanian yang tinggi.

Perbarisan Tahunan Putra MTD. FOTO – MUZAMIR/MT

“Mereka bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki keupayaan untuk menjadi pemimpin berwibawa pada masa hadapan,” katanya di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Datuk Wira Muhammad Hafizuddeain Jantan; Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain serta Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman.

Beliau turut berkata, MTD bukan sekadar sebuah institusi pendidikan, tetapi medan pembentukan karakter yang menekankan nilai kepimpinan sejajar dengan cogan kata “Serve to Lead” yang turut dikongsi bersama Royal Military Academy Sandhurst.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, memeriksa Perbarisan Putra MTD. FOTO-MUZAMIR/MT

“Di sini, para putera bukan hanya menimba ilmu tetapi turut dilatih membina jati diri, semangat setiakawan serta daya kepimpinan yang akan menjadi aset penting dalam kehidupan mereka,” katanya lagi.

Majlis itu turut menyaksikan pengiktirafan kepada putera yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Sementara itu, Anugerah Lembaga Tadbir diberikan kepada Pegawai Rendah Muda Ariff Fikry Aminuddin dari Kompeni Alpha, manakala Anugerah Pengarah Pengajian bagi Putera Terbaik Bidang Akademik disandang oleh Pegawai Rendah Kanan Muhammad Faiz Hazimin Madin juga dari Kompeni Alpha.

Panglima Angakatan Tentera bersama semua penerima anugerah MTD. FOTO-MUZAMIR/MT

Pegawai Rendah Kanan Muhammad Adif Hakimi Abdul Razak dari Kompeni Delta dinobat sebagai penerima Anugerah Komandan bagi Putera Terbaik Bidang Ketenteraan.

Penerima Anugerah Menteri Pertahanan sebagai Putera Terbaik Keseluruhan Pegawai Rendah Muda Myzan Haqiemy bin Muzainy dari Kompeni Foxtrot.

Kemuncak acara menyaksikan Pegawai Rendah Muda Myzan Haqiemy Muzainy dari Kompeni Foxtrot menerima Anugerah Menteri Pertahanan sebagai Putera Terbaik Keseluruhan.

Jeneral Datuk Mohd Nizam turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, tenaga pengajar serta Old Putera Association yang sentiasa memberi sokongan kepada MTD dalam melahirkan pemimpin berkualiti tinggi.

“Kepercayaan dan pengorbanan ibu bapa serta guru-guru memainkan peranan penting dalam kejayaan anak-anak ini. Dengan sokongan berterusan, MTD akan terus melahirkan pemimpin berwibawa untuk negara,” katanya lagi.

Majlis itu diakhiri dengan laungan semangat oleh para putera yang kini bersedia melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan mereka sebagai alumni MTD.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button