
Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya musnah dibom rejim zionis
PUTRAJAYA – Pusat Fisioterapi Dr Siti Hasmah dan Enaya yang terletak di Tebing Gaza mengalami kemusnahan dalam serangan Israel pada 7 November lalu.
Kemusnahan pusat itu dikongsikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.
Dalam hantaran itu, Tun Mahathir berkata, terdapat lima keluarga rakyat Palestin yang mendapatkan perlindungan di fasiliti tersebut selepas rumah mereka terkena serangan sebelumnya.
Namun, katanya, empat ahli keluarga berkenaan telah meninggal dunia susulan pengeboman Israel pada 7 November tersebut.
“Saya berkabung susulan pengeboman dan kemusnahan hospital dan pusat perlindungan lain di Gaza sebelum ini.
“Tetapi saya mempunyai pertalian peribadi dengan hospital ini. Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF) yang mana saya merupakan ahlinya, terlibat secara langsung dalam pembinaannya sejak awal lagi.
“PGPF, bersama Humanitarian Care Malaysia, Muslim Care Malaysia, Media Prima Humanitarian Fund dan Persatuan Amal untuk Bantuan Palestin membantu membinanya dan ia telah beroperasi sejak 2019,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.
Dr Mahathir berkata, fasiliti berkenaan terletak di Khan Younis di Selatan Gaza dan tidak mendatangkan kesan kepada rejim Zionis namun Israel tetap menyasarkannya.
Mengulas mengenai perkembangan terkini di Gaza, Dr Mahathir berkata, serangan Zionis Israel kini bertukar menjadi operasi pembunuhan beramai-ramai orang awam dan bukan pejuang Palestin.
“Ini bukan perang antara tentera, tetapi pembunuhan beramai-ramai oleh tentera Israel untuk menyingkirkan Gaza daripada penduduk Palestin.
“Pengeboman hospital, kediaman dan kini pusat fisioterapi, membuktikan bahawa Israel menyasarkan kemudahan ini secara sengaja dan dengan niat,” kata Tun Mahathir.
Beliau berkata, apa yang boleh dilakukan ketika ini adalah membantah dan berdoa supaya rakyat Palestin dihindarkan daripada kekejaman Israel.
“Sekutu Israel, terutamanya Amerika Syarikat dan United Kingdom terus membenarkan dan menyokong kebiadaban Israel,” tambahnya.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |