
Pulau Pinang berpotensi jadi taman teknologi serantau – Gobind
GEORGE TOWN – Pulau Pinang mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai taman teknologi serantau terutama dalam bidang teknologi masa depan, seiring peranannya sebagai hab utama industri semikonduktor negara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Pulau Pinang sejak sekian lama dikenali di peringkat antarabangsa sebagai peneraju sektor semikonduktor dan kini tiba masanya untuk memperkukuh kedudukan tersebut menerusi pembangunan ekosistem teknologi yang lebih menyeluruh.
“Apabila pelabur memilih Malaysia, khususnya Pulau Pinang, mereka akan menilai ekosistem sedia ada termasuk infrastruktur, kesiapsiagaan kerajaan dan keupayaan negara mengadaptasi teknologi baharu,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Hari Terbuka Malaysia Digital (MD) 2025 di sini, hari ini.
Mengulas mengenai perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Gobind menekankan kepentingan perkongsian data secara selamat dan tersusun sebagai salah satu elemen utama.
“Kerajaan telah melaksanakan langkah awal melalui penguatkuasaan Akta Perkongsian Data yang menjadi mekanisme penting dalam memastikan teknologi seperti AI dapat dimanfaatkan secara optimum,” katanya.
Menurutnya, kerajaan turut memberi fokus kepada penyediaan struktur dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan teknologi baharu, sekali gus menjadikan Pulau Pinang destinasi pilihan pelabur.
“Antara inisiatif terbaharu ialah pembukaan pejabat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di Pulau Pinang yang bertujuan memudahkan perbincangan bersama pemain industri dan menyelesaikan isu setempat secara langsung.
“Kita mahu mewujudkan ekosistem yang kondusif untuk pelaburan teknologi,” jelasnya.
Gobind turut yakin langkah-langkah tersebut mampu menarik lebih banyak syarikat teknologi global untuk melihat Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan strategik di rantau Asia Tenggara.
“Walaupun pusat data ketika ini lebih tertumpu di Kuala Lumpur dan Johor, Pulau Pinang kekal sebagai nadi industri semikonduktor negara.
“Dengan perancangan rapi serta pembangunan ekosistem baharu, negeri ini berpotensi besar menjadi pusat teknologi masa depan,” katanya.
Tambah beliau, Pulau Pinang kini bukan sahaja menjadi lokasi pengeluaran semikonduktor, malah berperanan sebagai pemacu utama pembangunan teknologi generasi baharu serta ekosistem syarikat pemula (startup) yang kian berkembang di utara tanah air.
Dalam pada itu, Gobind berkata, Pulau Pinang memberi maklum balas positif terhadap usaha kerajaan Persekutuan untuk memastikan setiap negeri mempunyai undang-undang seiring Akta Perkongsian Data 2024.
Beliau optimis usaha menggubal undang-undang seragam di peringkat negeri dapat direalisasikan menjelang akhir tahun ini.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |