BERITA SEMASA

PTKL 2040: 1.2 juta peluang pekerjaan bakal diwujudkan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.2 juta peluang pekerjaan bakal diwujudkan di ibu kota menerusi Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) 2040.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif berkata, peluang itu diwujudkan menerusi pembinaan 72 juta meter persegi keperluan luas lantai perdagangan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, katanya, PTKL 2040 turut menetapkan sasaran 305,000 unit rumah mampu milik menerusi pengenalan Zon Kediaman 4 (R4) bagi menyokong pembangunan residensi MADANI.

“PTKL 2040 juga memperkenalkan kawalan nisbah plot, termasuk insentif untuk pembangunan semula, cantuman lot, kawasan Zon Perancangan Transit atau TPZ dan Zon Pengaruh Transit atau TIZ serta projek yang mengandungi komponen rumah mampu milik.

“Sebanyak 139 kawasan dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan semula, dengan tumpuan kepada kawasan perumahan awam yang usang.

“Prinsip kita jelas, pembangunan semula mesti berdaya tahan, inklusif dan berdasarkan insentif yang adil sesuai dengan prinsip keadilan sosial dalam Malaysia Madani,” katanya.

Maimunah berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran PTKL 2040, di sini hari ini.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Dari segi mobiliti, Maimunah berkata, pelan itu turut menyasarkan 70 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2040 yang disokong oleh Pelan Induk Trafik dan Pelan Laluan Pejalan Kaki dan Basikal.

Tambahnya, inisiatif seperti mikromobiliti, laluan hijau berbumbung ialah contoh langsung bagaimana pelan ini diterjemahkan kepada tindakan.

Pada masa sama katanya, PTKL 2040 turut menetapkan sasaran minimum 20 meter persegi tanah lapang bagi setiap warga kota, yang bersamaan lebih 4,700 hektar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button