Berita Semasa

PRR Harmoni Madani : Anwar jamin perumahan untuk rakyat, pekerja estet tidak dipinggir

BESTARI JAYA – Kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat terpinggir, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya hari ini.

Beliau berkata, aspek pendidikan, kesihatan dan perumahan kekal sebagai agenda utama kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

foto ihsan KPKT

“Kita tidak boleh berlapang dada dan berada dalam zon selesa. Usaha membantu golongan memerlukan, tanpa mengira latar belakang kaum dan agama, perlu dipergiatkan,” katanya di sini hari ini.

Lebih menarik, projek itu membuktikan bahawa pekerja estet yang sekian lama menyumbang kepada ekonomi negara tidak dilupakan.

PRR Harmoni Madani Bestari Jaya dibangunkan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kerajaan Negeri Selangor, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) serta Syarikat Berjaya Corporation Berhad (BCB).

Projek yang menelan belanja RM75 juta itu melibatkan peruntukan dana Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta.

Menariknya, tanah seluas 20 ekar bagi projek itu disediakan secara percuma oleh BCB, manakala PR1MA bertanggungjawab sebagai agensi pelaksana untuk merealisasikan pembangunan.

Anwar berkata, inisiatif itu boleh diperluaskan dan dijadikan contoh kepada projek perumahan lain dalam memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

“Saya percaya prakarsa itu mampu mengangkat taraf hidup rakyat dan menjadi model terbaik untuk masa depan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button