BERITA SEMASADALAM NEGERI

Proton perkenal EV kedua, e.MAS 5 di Malaysia Autoshow 2025

SERDANG – Proton hari ini memperkenalkan model kenderaan elektrik (EV) keduanya, Proton e.MAS 5, sempena Malaysia Autoshow 2025 yang berlangsung selama seminggu di MAEPS, Serdang.

Model yang berbalut pelekat penyamaran itu merupakan sebuah hatchback kompak yang berasaskan model sedia ada keluaran Geely (Star Wish), sama seperti model ‘abangnya’, e.MAS 7.

e.Mas 5 mempunyai reka bentuk badan yang penuh lengkungan aerodinamik serta gaya berkarakter pada depan dan belakang dengan lampu berbentuk tirus.

Bagaimanapun bahagian dalaman jentera ini masih belum didedahkan untuk tatapan umum sehingga pelancarannya yang dijangka pada hujung tahun ini.

Menariknya, jentera ini dijangka ditawarkan pada harga bawah RM100,000 dengan sasaran pengeluaran kilang sebanyak 20,000 setahun.

Jentera EV kedua Proton, eMas5 yang dibangunkan dari asas model Geely.

Berdasarkan reka bentuk dalaman Geely Star Wish, e.MAS 5 berkemungkinan dilengkapi papan pemuka bergaya dengan paparan skrin digital 14.6 inci, pencahayaan keliling dan keunikan kesan lampu pada panel papan pemuka.

Kelengkapan lain yang dijangka dimasukkan pada unit ini adalah penyaman udara automatik dengan ventilasi belakang, tempat duduk hadapan berkuasa, pengecas tanpa wayar, fungsi vehicle-to-load (V2L), serta pelbagai sistem bantuan pemandu seperti brek kecemasan automatik dan amaran keluar lorong.

Dari segi spesifikasi teknikal, PROTON masih belum mengumumkan maklumat rasmi.

Namun, berdasarkan Geely Star Wish, e.MAS 5 mungkin ditawarkan dalam dua pilihan kuasa: motor 79 PS bersama bateri 30.12 kWh dengan jarak sehingga 310 km, atau motor 116 PS dengan bateri 40.16 kWh yang mampu mencapai jarak 410 km (berdasarkan piawaian CLTC).

Namun tidak mustahil sekiranya PROTON memperkenalkan versi dengan kapasiti bateri lebih besar bagi meningkatkan jarak perjalanan.

Dengan harga di bawah RM100,000, ia pastinya memberi pilihan baharu kepada yang tidak memerlukan saiz e.Mas 7

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button