Prosiding rayuan Siti Bainun ditangguh, mahkamah pertimbang permohonan keterangan baharu
PUTRAJAYA – Prosiding rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun atas dua pertuduhan mengabai serta menganiaya remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella, ditangguhkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini bagi memberi laluan kepada permohonan memasukkan keterangan baharu.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Azmi Arifin dan Datuk Dr Choo Kah Sing menetapkan 3 Jun ini untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh pendengaran permohonan tersebut.
Menurut peguam bela Siti Bainun, Haijan Omar, permohonan tersebut difailkan melalui satu notis usul pada 7 Mei lalu bagi memasukkan keterangan baharu dalam rayuan.
Beliau berkata, keterangan tersebut melibatkan laporan polis yang dibuat oleh ibu kepada kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matin, Ismanira Abdul Manaf, pada 25 Julai tahun lalu.
Selain itu, pihak pembelaan turut mengemukakan afidavit daripada salah seorang saksi pendakwaan yang pernah memberi keterangan dalam perbicaraan kes Siti Bainun sebelum ini.
“Ditangguhkan atas sebab pihak perayu memohon telah memasukkan satu notis usul iaitu satu permohonan untuk mengemukakan keterangan lanjut berkenaan satu laporan polis pada 25 Julai tahun lalu sebagai keterangan baharu atau tambahan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Haijan berkata penangguhan prosiding dibuat bagi memberi ruang kepada pihak pendakwaan untuk membalas permohonan tersebut, selain memaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan menyiasat kandungan laporan polis berkenaan.
Mengulas lanjut, Haijan berkata sekiranya mahkamah membenarkan permohonan itu, proses seterusnya akan melibatkan dua kemungkinan yang berbeza.
Kemungkinan pertama ialah Mahkamah Rayuan sendiri mengadakan perbicaraan kecil (trial within a trial) bagi menilai kesahihan serta relevansi keterangan baharu yang dikemukakan.
Manakala kemungkinan kedua pula, mahkamah boleh memutuskan untuk menghantar semula kes itu ke Mahkamah Sesyen untuk mendengar dan menilai keterangan berkenaan sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan muktamad terhadap rayuan tersebut.
Baca juga : Mahkamah Tinggi tolak rayuan Siti Bainun ketepikan keputusan bersalah aniaya, abai Bella
Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati beliau bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella yang ketika itu berusia 13 tahun.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari hingga Jun 2021, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua, beliau dihukum penjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan.
Selain itu, Siti Bainun turut diarahkan melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam, yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum ini pada 3 Mei 2023, mendapati Siti Bainun bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut selepas melalui perbicaraan panjang yang mendapat perhatian umum.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






