BERITA SEMASADALAM NEGERIPMX

Projek Warisan KL perlu berpaksikan rakyat, budaya – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap pembangunan di ibu negara, termasuk Projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI yang dilancarkan hari ini, mesti dilaksanakan dengan memberi keutamaan kepada rakyat, warisan tempatan dan nilai budaya.

Menurut Anwar, projek yang bertujuan memperbaharui wajah Kuala Lumpur dalam kerangka pembangunan negara moden itu tidak boleh sekadar berorientasikan mercu tanda atau pembangunan berskala besar tanpa memikirkan kesejahteraan masyarakat setempat.

“Perancangan mesti bermula dengan kerangka moden dan berteknologi tinggi namun tetap berakar kepada bumi – kepada warisan, budaya dan nilai yang dekat di hati rakyat,” katanya semasa majlis peluncuran projek di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Anwar Ibrahim menegaskan bahawa setiap pembangunan di ibu kota, termasuk projek Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI, perlu memberi manfaat secara langsung kepada rakyat dengan meningkatkan kualiti hidup mereka. Foto : DBKL

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif.

Beliau juga menekankan sekurang-kurangnya 80 peratus daripada manfaat pembangunan harus disasarkan untuk rakyat kebanyakan, bukan hanya golongan atasan atau pelabur.

“Gedung besar untuk pelancong boleh kita bangunkan, tetapi jangan lupakan warung, restoran kecil, taman permainan kanak-kanak, perpustakaan, ruang sejarah – semua ini juga penting dan memberi makna kepada kehidupan rakyat,” ujarnya.

Warisan Kuala Lumpur (KL) adalah inisiatif strategik untuk mentransformasikan kawasan bersejarah yang tertumpu di Pusat Bandar Kuala Lumpur sebagai zon budaya dan kreatif.

Ia berpandukan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dan membawa pendekatan pembangunan bandar yang berasaskan budaya.

Melalui pelaksanaan 10 projek perintis andalan, Warisan KL berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebuah kota kreatif bertaraf global yang inklusif, saling terhubung dan mencerminkan identiti Malaysia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button