BERITA SEMASA

Program serantau perkasa impak sosial pengakap, sukarelawan

KUALA LUMPUR – Program Asia Pacific Regional Social Impact and Advocacy Workshop yang berlangsung selama tiga hari hingga esok, disifatkan sebagai platform penting bagi mengukuhkan peranan pergerakan pengakap dalam memberi impak sosial yang lebih luas dan berkesan.

Pengarah Eksekutif Pemimpin Global School Leaders (GSL), Samuel Isaiah berkata, usaha tersebut amat penting kerana ia mengetengahkan keperluan untuk mendekati komuniti serta mencari penyelesaian yang mampan.

“Saya rasa program ini bukan sahaja memberi ruang untuk kita berkongsi apa yang dilakukan di Malaysia, tetapi juga menonjolkan imej baik negara di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pengarah Eksekutif Pemimpin Global School Leaders (GSL), Samuel Isaiah

Menurut beliau, penyertaan negara-negara luar membuka peluang untuk bertukar idea, berkongsi masalah serta merangka penyelesaian secara kolektif.

“Kadang kala kita fikir penyelesaian harus berbeza mengikut negara, namun sebenarnya ada isu yang bersifat sejagat dan boleh diselesaikan bersama. Kolaborasi seperti ini adalah asas kepada impak yang lestari,” jelas beliau.

Sementara itu, Penyelaras Program Family Frontiers, Sarah Czarina Mashanis menyifatkan sesi berkaitan social impact storytelling yang turut berlangsung dalam program berkenaan sebagai satu pendekatan yang segar dan bermanfaat.

“Ramai orang buat kerja sosial, tetapi tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan impaknya kepada bentuk yang kreatif dan dapat ditampilkan kepada umum, khususnya di media sosial,” katanya.

Penyelaras Program Family Frontiers, Sarah Czarina Mashanis

Sarah menambah bahawa pengakap merupakan antara kumpulan yang aktif melakukan kerja-kerja sukarelawan, namun kurang menonjolkan hasilnya kepada masyarakat.

“Saya harap sesi seperti ini memberi manfaat kepada peserta dan menjadi dorongan kepada lebih banyak program seumpama ini yang terbuka kepada umum, bukan sekadar pengakap,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan menyampaikan impak secara beretika, terutama apabila melibatkan pihak berkepentingan seperti agensi kerajaan dan komuniti.

“Kita perlu fikir bagaimana untuk menterjemahkan kerja-kerja impak sosial dalam bentuk yang baik dan memberi makna kepada khalayak yang kita sasarkan,” jelasnya.

Program serantau ini menghimpunkan 60 orang wakil dari 15 negara Asia Pasifik bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik dalam memperkukuh peranan pengakap dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pembangunan komuniti.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button