BERITA SEMASA

Program Sekolah Angkat MADANI perkasa pendidikan digital di Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Program Sekolah Angkat MADANI Kementerian Pertahanan dilancarkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Lok Heng, sebagai usaha memperkukuh pendidikan digital dan memastikan manfaat pembangunan MADANI turut dinikmati masyarakat luar bandar, hari ini.

Sekolah angkat madani, SK Lok Heng
Menteri Pertahanan di SK Lok Heng hari ini

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, program itu selaras dengan pendekatan “Whole of Government, Whole of Society” (WoGoS) yang diterajui Kerajaan MADANI bagi memastikan pembangunan negara bukan sahaja bersifat fizikal, tetapi turut membawa kesejahteraan dan keadilan sosial kepada rakyat.

Beliau berkata, beliau komited memastikan setiap inisiatif nasional memberi impak kepada seluruh negara, termasuk Kota Tinggi.

“Pendekatan ini memastikan setiap rakyat tidak tertinggal dalam arus pembangunan. Kota Tinggi juga mesti merasai limpahan manfaat pembangunan MADANI,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini

Menurut beliau, daripada lapan Sekolah Angkat MADANI di bawah Kementerian Pertahanan tahun ini, dua daripadanya terletak di Kota Tinggi.

“SK Felda Lok Heng menerima peruntukan RM100,000 bagi melaksanakan program pendigitalan pembelajaran bertujuan menjadikan proses pengajaran lebih interaktif serta melahirkan generasi celik digital yang berdaya saing.

“Ilmu dan pendidikan merupakan asas pembentukan modal insan yang berkualiti.

“Kejayaan negara tidak boleh hanya bergantung kepada sumber kewangan atau infrastruktur, tetapi kepada rakyat yang berpengetahuan, berkemahiran dan berakhlak tinggi,” katanya lagi.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan akan terus memperkukuh usaha seperti ini agar setiap rakyat tanpa mengira tempat dapat menikmati makna sebenar pembangunan MADANI yang menekankan keadilan, keseimbangan dan kesejahteraan manusia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button