BERITA SEMASADALAM NEGERI

Program Nur Ramadan Wilayah Persekutuan santuni golongan asnaf

KUALA LUMPUR – Bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menganjurkan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2025 di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda di sini, semalam.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, secara keseluruhan sejumlah RM1.1 juta telah diperuntukkan bagi penganjuran program itu di ketiga-tiga wilayah hasil kutipan zakat daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“Daripada jumlah tersebut, RM300,000 diagihkan kepada 3,300 golongan asnaf dan fakir miskin dari 11 Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Zaliha menyaksikan sumbangan cek bagi Program Bantuan Bas Percuma MySchoolBus@Wilayah berjumlah RM4.8 juta. 

“Pemilihan penerima sumbangan dilakukan berdasarkan senarai asnaf berdaftar dengan MAIWP, sistem eKasih dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Kategori asnaf yang dipilih pula merangkumi golongan fakir, miskin, al-gharimin, al-rigab, fisabilillah dan muallaf,” katanya dalam satu kenyataan.

Sempena program itu, Zaliha telah menyerahkan bantuan wang tunai bernilai RM200 kepada 300 penerima asnaf yang terdiri daripada anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan.

Baki 3,000 penerima lain akan menerima sumbangan secara berperingkat.

Syarikat Jasmine dan Saji turut menyumbang barang keperluan asas seperti beras kepada 300 penerima sumbangan dari Parlimen Batu, selain sumbangan 50kg beras kepada Masjid Saidina Hamzah.

Sebahagian asnaf yang disantuni Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam program ini.

Selain itu, JWP turut memperuntukkan RM75,000 bagi setiap Wilayah Persekutuan untuk penyediaan juadah berbuka puasa dan moreh kepada para asnaf sepanjang program berlangsung.

Masjid Saidina Hamzah Kampung Batu Muda turut menerima sumbangan khas sebanyak RM5,000 bagi menaik taraf fasiliti masjid demi keselesaan jemaah.

“Penganjuran Program Nur Ramadan ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah bertujuan mengeratkan ukhuwah, memperkukuh kasih sayang dan persaudaraan dalam kalangan masyarakat Wilayah Persekutuan.

“Usaha ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan serta perpaduan untuk kemajuan negara.

“Diharapkan program ini dapat menyuburkan semangat kebersamaan dalam masyarakat serta mewujudkan Wilayah Persekutuan yang lebih harmoni dan sejahtera,” ujar Zaliha.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button