Program I LITE U: Teguran secara berhemah penting pastikan ketepatan fakta, kefahaman bersama – KPKT
PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menegaskan pihaknya sentiasa menghormati kebebasan media serta menghargai peranan penting yang dimainkan oleh pengamal media dalam menyalurkan maklumat tepat dan sahih kepada rakyat.
Dalam satu kenyataan, KPKT berkata, di bawah kepimpinan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, kementerian komited memastikan hubungan baik dan saling menghormati dengan pihak media terus diperkukuh.
Jelasnya, sidang media yang diadakan sempena pelancaran Projek Inovasi Pencahayaan ke Arah Kelestarian Bandar (I LITE U) bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026, bertujuan memperkukuh usaha promosi pelancongan negara serta menarik perhatian pelancong antarabangsa terhadap keunikan dan daya tarikan ikonik di ibu negara.
“Sebagai tanda komitmen menjunjung martabat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, keseluruhan sidang media yang melibatkan Menteri dijalankan dalam Bahasa Melayu, termasuk ucapan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur.

“KPKT turut merakamkan penghargaan kepada media tempatan dan antarabangsa atas liputan yang diberikan serta menegaskan bahawa kementerian sentiasa menghormati kebebasan wartawan untuk mengemukakan soalan sepanjang sesi media,” katanya.
Namun begitu, menurut kenyataan itu pihak yang menjawab soalan juga wajar diberikan ruang untuk memberi respon terhadap setiap persoalan yang diajukan.
Selain itu katanya, teguran secara berhemah penting bagi memastikan ketepatan fakta dan kefahaman bersama demi mencapai objektif program serta dasar kerajaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








