BERITA SEMASADALAM NEGERI

Program Fast Track ISO 37001 dilancar, dorong kontraktor G7 perkukuh integriti industri pembinaan

SHAH ALAM – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama SIRIM Berhad dan Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM), hari ini melancarkan Program Fast Track: ISO 37001 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) – Ke Arah Pensijilan dalam satu majlis di sini, hari ini.

Inisiatif tersebut bertujuan mempercepat pelaksanaan dan pensijilan ISO 37001:2025 dalam kalangan kontraktor Gred G7 selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus beretika serta mempertingkat kawalan anti-rasuah dalam sektor pembinaan negara.

Pelancaran itu juga bertepatan dengan arahan kerajaan yang mewajibkan pensijilan ABMS untuk semua syarikat yang ingin membida projek awam bernilai lebih RM100 juta bermula 2026 hingga 2027.

Dalam ucapan perasmiannya, Yusuf menyeru agar kontraktor tidak menangguhkan penyertaan dalam program itu kerana pelaksanaan awal mampu memberi kelebihan strategik dalam penyesuaian dalaman dan reputasi syarikat.

Justeru, program itu akan menyediakan bimbingan intensif dan berstruktur bagi membantu syarikat memenuhi keperluan berkenaan.

Pengerusi CIDB Malaysia, Ir. Yusuf Abd. Wahab menyeru agar kontraktor tidak menangguhkan penyertaan dalam program itu kerana pelaksanaan awal mampu memberi kelebihan strategik dalam penyesuaian dalaman dan reputasi syarikat.

“Kontraktor G7 perlu mengambil peluang menyertai program ini dari sekarang. Penyertaan awal membolehkan mereka menyesuaikan struktur dalaman dengan lebih tersusun serta meningkatkan kebolehpercayaan di mata rakan strategik dan pemilik projek,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menegaskan bahawa CIDB sendiri telah memperoleh pensijilan ABMS sejak tahun 2020, yang meliputi fungsi utama seperti pendaftaran kontraktor, pengurusan levi, penguatkuasaan dan pendaftaran personel binaan.

Pengalaman itu katanya, menjadi asas kukuh kepada pembangunan program Fast Track.

Sebagai langkah memperkukuh daya saing, CIDB kini menambah baik sistem SCORE (Penilaian Keupayaan dan Kemampuan Kontraktor) dengan memberikan markah tambahan kepada syarikat yang memiliki pensijilan ABMS sekali gus meningkatkan peluang pembidaan projek berskala besar.

Dalam masa yang sama, CIDB turut menggesa agensi pelaksana kerajaan, GLC dan pemilik projek swasta untuk meletakkan integriti sebagai kriteria utama dalam pemilihan rakan pelaksana dan bukan hanya bergantung kepada harga atau kelayakan teknikal semata-mata.

CIDB
CIDB turut menggesa agensi pelaksana kerajaan, GLC dan pemilik projek swasta untuk meletakkan integriti sebagai kriteria utama dalam pemilihan rakan pelaksana dan bukan hanya bergantung kepada harga atau kelayakan teknikal semata-mata.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Ir. Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, melalui anak syarikatnya SIRIM Academy dan SIRIM QAS International, SIRIM memainkan peranan penting dalam memperluaskan kesedaran dan pensijilan ABMS sejak 2017.

“Setakat ini, 92 syarikat telah menerima latihan daripada SIRIM Academy, manakala 258 organisasi telah memperoleh pensijilan daripada SIRIM QAS International iaitu satu pencapaian yang membuktikan komitmen tinggi industri terhadap integriti,” katanya.

Majlis turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM Academy Sdn. Bhd., Nik Sazali Nik Hussin, dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Zainora Zainal.

MBAM dalam kenyataannya menzahirkan rasa bangga atas kerjasama bersama CIDB dan SIRIM sekali gus menyambut baik pelaksanaan program itu yang dilihat mampu memberi pendedahan dan pemahaman lebih mendalam kepada kontraktor tempatan berhubung pelaksanaan sistem anti-rasuah yang menyeluruh.

“Kami menggalakkan para ahli dan pemain industri untuk menyertai program ini bagi memperkukuh pematuhan, meningkatkan kelayakan bidaan serta membina keyakinan pihak berkepentingan,” ujar MBAM.

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, orang ramai boleh melayari portal rasmi CIDB di www.cidb.gov.my.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button