BERITA SEMASA

Pro-Canselor UNISEL, Dr Anuar meninggal dunia

SHAH ALAM – Pro-Canselor Universiti Selangor (UniSel) Datuk Dr Anuar Tafsir@Masduki atau lebih dikenali Dr Anuar Masduki, 79, meninggal dunia, pagi tadi.

Anak bongsu Allahyarham, Norma Syaneda Anuar, 47, berkata, allahyarham bapanya menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarga pada pukul 9.28 pagi tadi di Pusat Perubatan Subang Jaya, dekat sini.

“Allahyarham sebenarnya ada kanser limfoma dan telah dimasukkan ke hospital kerana denggi kira-kira tiga minggu lepas.

“Selepas itu, beliau sudah dibenarkan keluar, namun dua hari kemudian ayah kelihatan lemah, jadi kami bawa beliau semula ke hospital dengan segera dan didapati ada jangkitan dekat otak,” katanya kepada BERNAMA, hari ini.

Tambahnya, solat jenazah bapanya itu akan dilaksanakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini selepas zuhur dan dijangka dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

Dr Anuar yang merupakan Pakar Kardiologi Peribadi kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, meninggalkan seorang isteri dan dua anak iaitu Dr Ainur Rahman Anuar, 48, serta Norma Syaneda.

Allahyarham berkelulusan doktor perubatan dari Universiti Malaya (UM) pada 1971 sebelum melanjutkan pengajian ke Royal College of Physicians di United Kingdom pada 1975.

Dr Anuar pernah menjadi Timbalan Dekan Fakulti Perubatan di UM, pemangku Timbalan Naib Canselor (Kewangan dan Pembangunan) UM selain beberapa jawatan pentadbiran lain di hospital swasta.

Allahyarham merupakan Pro-Canselor UniSel sejak 1 Ogos 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button