PRK Ayer Kuning: 31,281 pengundi bakal buang undi di 19 pusat undi, 63 saluran esok
KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran akan dibuka kepada 31,281 orang pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Perak yang akan berlangsung esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya telah selesai melakukan semakan peralatan mengundi sebagai persediaan menjelang hari pengundian.
“Semakan itu bertujuan memastikan semua kelengkapan seperti peti undi, kertas undi, dakwat pilihan raya serta peralatan lain berada dalam keadaan baik dan lengkap.
“Kesemua peralatan akan diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) di setiap saluran bagi menjamin kelancaran proses pengundian.
“Pengundi digalakkan mematuhi masa keluar mengundi yang disarankan melalui aplikasi MySPR Semak. Walaupun waktu pengundian bermula dari pukul 8 pagi hingga 6 petang, pengundi boleh merancang masa mengundi mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.
SPR turut mengingatkan pengundi agar membuat semakan awal maklumat pengundian melalui portal MySPR Semak atau menghubungi talian Hotline SPR di 03-8892 7218.
Selain itu, penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi juga tidak dibenarkan.
“Pengundi yang membawanya perlu meletakkan telefon di tempat khas selepas menerima kertas undi dan hanya mengambilnya semula selepas selesai mengundi.
“Pihak SPR juga menegaskan bahawa semua individu yang hadir ke pusat mengundi dilarang memakai atau membawa bahan yang memaparkan simbol parti atau calon bertanding.
“Kegagalan mematuhi arahan ini boleh menyebabkan individu tersebut dilarang masuk ke pusat mengundi,” kata SPR.
Sementara itu, SPRM turut memaklumkan tempoh rasmi berkempen akan tamat tepat jam 11.59 malam ini.
“Sebarang aktiviti kempen termasuk merayu undi secara fizikal atau di media sosial selepas waktu tersebut adalah tidak dibenarkan.
“SPR berharap semua pihak akan mematuhi peraturan serta undang-undang yang ditetapkan demi memastikan perjalanan PRK Ayer Kuning berlangsung lancar, telus dan aman,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






