BERITA SEMASA

Prestasi semua menteri cemerlang, penilaian berasaskan kesejahteraan rakyat – Anwar

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji prestasi seluruh jemaah menteri selepas menyatakan bahawa kesemua mereka menunjukkan pencapaian baik dalam penilaian pertengahan penggal yang dijalankan secara spontan baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada sesi town hall sempena program Rancakkan MADANI di Dataran Putrajaya, hari ini.

Menurut Anwar, prestasi menteri bukan hanya boleh dilihat melalui angka ekonomi, sebaliknya melalui peningkatan kesejahteraan serta “rasa hidup lebih baik” dalam kalangan rakyat hasil pelaksanaan dasar berasaskan nilai kemanusiaan.

“Tiada seorang pun menteri yang ketinggalan. Setiap kementerian saya analisis secara terperinci.

“Saya setuju dengan cadangan Ketua Setiausaha Negara supaya program seperti ini diadakan untuk kita jelaskan pencapaian,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut mengingatkan bahawa data tidak boleh dijadikan satu-satunya ukuran kerana ia kadangkala tidak menggambarkan realiti sebenar kehidupan rakyat.

“Data boleh mengelirukan. Ada negara pertumbuhan ekonominya besar tetapi kemiskinan tetap menjadi masalah.

“Ada negara paling kaya, tetapi gelandangan di mana-mana,” katanya lagi.

Anwar turut berkata, penilaian terhadap dasar kerajaan perlu dibuat berdasarkan nilai kemanusiaan yang menekankan prinsip tidak meninggalkan sesiapa pun di belakang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button