
PPZ-MAIWP catat peningkatan kutipan zakat melalui ejen, raih RM74.34 juta pada 2024
KUALA LUMPUR – Kutipan zakat melalui saluran ejen sah Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatat peningkatan sebanyak 17.4 peratus bagi tahun 2024 dengan jumlah RM74.34 juta berbanding RM63.28 juta pada tahun sebelumnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar berkata, pencapaian tersebut menggambarkan tahap kepercayaan yang tinggi masyarakat terhadap ejen-ejen kutipan zakat yang diiktiraf oleh PPZ-MAIWP.
“Semoga dengan bantuan dan peranan yang dimainkan oleh ejen-ejen ini, lebih ramai asnaf akan dapat dibantu.
“Saya juga optimis angka kutipan ini akan terus meningkat seiring dengan penambahbaikan sistem serta kemudahan yang ditawarkan di platform masing-masing,” katanya memetik laporan Berita RTM.
Mohd Naim berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2024 yang diadakan bagi menghargai sumbangan ejen dalam memperkukuh prestasi kutipan zakat di Wilayah Persekutuan, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, sebanyak 16 syarikat ejen menerima anugerah khas sebagai pengiktirafan atas prestasi cemerlang mereka sepanjang tahun.
Sumbangan para ejen yang aktif menyebarkan kesedaran dan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai kewajipan zakat turut diiktiraf sebagai antara elemen penting dalam misi sosial dan kebajikan yang digerakkan oleh PPZ-MAIWP.
Dalam masa yang sama, orang ramai terus diingatkan supaya menunaikan zakat hanya melalui ejen-ejen sah yang dilantik bagi mengelakkan risiko penipuan dan penyebaran maklumat palsu berkaitan kutipan zakat.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |