PPTM 2026–2035 dilancar Januari, angkat pendidikan tinggi Malaysia ke fasa baharu
PUTRAJAYA – Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035 bakal menjadi pembaharuan paling penting sektor pendidikan tinggi negara untuk tempoh satu dekad akan datang, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Zambry berkata, Kabinet pada dasarnya berpuas hati dengan pelan berkenaan dan kementeriannya kini diminta memperincikan penjelasan lanjut sebelum pelancaran rasmi dilakukan.
“Pelan ini hasil kolektif dan komitmen pelbagai pihak bagi memastikan pendidikan tinggi Malaysia kekal relevan, berdaya saing dan siap siaga menghadapi masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media bagi mengulas pembentangan PPTM 2026–2035 dalam mesyuarat Kabinet hari ini.
PPTM 2026-2035 dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu kedua Januari tahun depan.
Menurut Zambry, penyediaan pelan itu melalui proses libat urus komprehensif membabitkan 8,226 pihak berkepentingan merangkumi institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, industri, kerajaan, badan profesional, alumni, mahasiswa serta wakil komuniti di seluruh negara.
Katanya, pelan itu bukan hanya dokumen KPT, sebaliknya pelan negara yang dibangunkan bersama rakyat.
Beliau menegaskan, pelan tersebut bersifat dinamik dan akan disemak dari semasa ke semasa agar kekal selari perubahan dalam dan luar negara, termasuk perkembangan teknologi baharu seperti kejuruteraan bersepadu, AI generasi baharu, bioteknologi serta teknologi kuantum.
Malah, katanya, paksi utama pelan itu turut menekankan elemen berpaksikan kemanusian bagi memastikan teknologi berkembang seiring pembinaan nilai moral, etika, integriti dan adab keilmuan.
“Pendidikan tinggi mesti melahirkan pembentuk negara yang berpaksikan kemanusiaan, mempunyai matlamat jelas dan berdaya tahan,” katanya.
Pelan itu turut menjadikan kecerdasan buatan (AI) sebagai pemboleh daya utama dalam pembangunan kurikulum, penyelidikan, inovasi serta penyediaan bakat profesional tempatan.
Selain itu, Zambry berkata, PPTM memberi penekanan kepada akses inklusif kepada lepasan STPM dan matrikulasi serta fleksibiliti laluan pengajian merentas disiplin.
Beliau berkata, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan peluasan penguasaan bahasa global seperti Inggeris, Mandarin, Tamil, Arab termasuk bahasa suku kaum turut menjadi komponen penting pelan berkenaan.
Katanya, Malaysia juga akan terus diperkukuhkan sebagai hab pendidikan serantau, selaras kedudukan kukuh institusi pengajian tinggi negara di peringkat ASEAN.
“Ini adalah dokumen penting untuk masa depan negara. Kita mahu melahirkan generasi yang berakhlak, berilmu, berdaya cipta dan bersedia menghadapi cabaran teknologi yang pesat berubah,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







