BERITA SEMASA

PPPTM bawa landskap pendidikan tinggi negara ke tahap lebih tinggi

KUALA LUMPUR – Pendidikan tinggi di negara ini perlu bersedia untuk mempersiapkan individu terhadap pekerjaan masa depan yang dilihat bakal mengetengahkan pelbagai teknologi baharu.

Justeru itu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah memulakan gerak kerja menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPPTM) 2026-2035.

Zambry berkata, terdapat empat perkara yang diberi penekanan iaitu integrasi teknologi, keperluan tenaga kerja yang berkembang, pembelajaran sepanjang hayat dan fleksibiliti dan cabaran di peringkat global.

“Jadi dalam ketika kita merangka ini, terdapat 10 perkara utama yang perlu kita berikan perhatian, iaitu sebagai dalam konteks pembinaan negara ini.

“10 perkara utama itu antaranya melibatkan kemampanan kewangan, prestasi tinggi dan bakat dengan tujuan, pendidikan fleksibel, pembelajaran sepanjang hayat, kecekapan TVET, kesihatan planet yang mampan dan seterusnya.
 
“Lantaran itu, kumpulan pakar yang sedang merangka ini memberi perhatian kepada 10 perkara ini supaya kita dapat membentuk satu ‘game changer’ yang baru iaitu satu perubahan daripada yang kita rangka sebelum ini kepada 10 tahun akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani anjuran KPT dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, malam tadi.

Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur, malam tadi. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Mengulas lanjut, Zambry berkata, terdapat lapan fokus utama Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026-2035 yang menekankan pelbagai perspektif dalam peralihan pendidikan tinggi negara.

Katanya, KPT akan beralih daripada pelaksanaan pendidikan berstruktur kepada menyahhimpunkan pendidikan (unbundling education) bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada individu menerima pendidikan tinggi menerusi pendidikan fleksibel dan pembelajaran sepanjang hayat.

“Daripada melahirkan graduan yang sedang mencari pekerjaan, kepada graduan yang mampu mencipta pekerjaan yang berteraskan kemanusiaan, mempunyai kemahiran masa depan, menyesuaikan diri dengan persekitaran dan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku.

“Fokus juga akan beralih daripada ahli akademik yang menumpukan pada output, kepada ahli akademik yang memberi tumpuan kepada impak yang memberi manfaat kepada orang ramai dan planet.

“Selain itu, daripada pemimpin dan pentadbir yang menumpukan kepada proses, kepada pemimpin dan pentadbir yang inovatif dan mempunyai pemikiran yang sistematik serta menambah baik sistem penyampaian melalui transformasi digital,” ujarnya.

Forum Ilmuan Malaysia Madani (FIM) menghimpunkan ahli akademik, tokoh industri dan pemimpin masyarakat pelbagai latar belakang bagi membincangkan pelbagai isu yang dihadapi rakyat. – Foto Najmi Zulkefle/ Malaysia Tribune

Tambah Zambry, pelan pendidikan tinggi tersebut juga turut menerapkan kerjasama antara institusi, agensi dan juga pelbagai kementerian di Malaysia.

“KPT juga akan memperkasakan program STEAM daripada pendidikan rendah dan menengah ke peringkat pengajian tinggi.

“Setiap institusi turut perlu merancang proses penjanaan kewangan dengan memperkasakan bidang penyelidikan dan inovasi serta kerjasama dengan industri,” ujarnya.

Sementara itu, Zambry berkata, KPT mahu menggalakkan lebih banyak kampus luar pesisir dengan perhubungan strategik di semua Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh negara.

“Dulu kita fikir bahawa kita kena bawa pelajar luar negara datang belajar dan kita seronok tengok orang belajar di sini (Malaysia).
 
“Tapi sekarang kita sedang bergerak ke hadapan iaitu apabila kita melihat bagaimana universiti-universiti kita sudah mampu berada di luar dengan menawarkan kurikulum
yang baik melalui program-program di luar negara.

“Ini merupakan satu perkembangan baru dalam dunia pendidikan Malaysia di mana kita sudah mendapat keyakinan daripada masyarakat antarabangsa,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button