BERITA SEMASA

PPj akan pantau tapak bazar Ramadan secara harian

PUTRAJAYA – Pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) akan memantau tapak bazar Ramadan di Putrajaya secara harian bagi memastikan isu kebersihan dan keselamatan makanan yang terjadi sebelum ini tidak berulang.

Presiden PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, bagi memastikan aspek kebersihan diutamakan setiap peniaga, PPj akan mengadakan sesi taklimat penyediaan makanan kepada 700 peniaga bazar pada minggu depan.

FADLUN MAK UJUD

“Kadang-kadang peniaga sediakan (makanan) petang dan mungkin masa dihidang di luar kawalan. Untuk memastikan (kebersihan) kita sentiasa buat pemantauan dan sekiranya berlaku kita beri ingatan atau hentikan mereka daripada berniaga serta-merta.

“Kita akan pastikan dari segi kualiti penyediaan makanan itu baik,” katanya kepada media selepas merasmikan festival pencahayaan edisi khas, Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024, di sini malam tadi.

Pada bulan puasa tahun lepas, tular video memaparkan mi berlauk sotong yang dikenali sebagai ‘Mee Tonggek’ berharga RM30 yang didakwa sudah berulat dan dibeli di bazar Ramadan Presint 3 di sini.

Susulan itu, PPj mengeluarkan notis amaran kepada pengusaha gerai itu dan diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Fadlun berkata, tahun ini juga PPj akan memastikan semua peniaga bazar Ramadan tidak lagi menggunakan plastik untuk membungkus makanan dan akan memperkenalkan penggunaan pembungkusan daripada bahan biodegradasi atau boleh urai, selain menggalakkan pembeli membawa bekas masing-masing.

Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada 12 Mac ini.

Ditanya tindakan terhadap peniaga yang memberi atau menjual lesen berniaga kepada orang lain, beliau berkata, PPj akan menarik terus lesen tersebut sekiranya peniaga didapati berbuat demikian, namun tindakan itu dilihat dapat dibendung memandangkan setiap peniaga diberikan pas berserta gambar masing-masing.

“Kita akan dapat kesan dari awal kerana kita keluarkan pas yang ada gambar peniaga. Kita tidak beri lesen kepada mana-mana persatuan tetapi kepada individu,” katanya.

Fadlun berkata, sebanyak tujuh tapak bazar Ramadan disediakan pihaknya tahun ini iaitu di Presint 9, Presint 11, Presint 14, Presint 16 dan tiga lokasi di Presint 3, selain di Presint 11 yang diuruskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi memberi peluang kepada warga Putrajaya berniaga.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button