
Poster komik agama Hindu: KPN minta hentikan tindakan gugat keharmonian negara
PUTRAJAYA – Polemik berkaitan poster komik yang dikaitkan dengan agama Hindu baru-baru ini telah mencetuskan kebimbangan terhadap perpaduan negara.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) meminta semua pihak segera menghentikan sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti agama dan menggugat keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Saraswathy Kandasami menegaskan, bahawa Malaysia, sebagai sebuah negara yang berbilang kaum dan agama, perlu mengekalkan nilai hormat-menghormati terhadap kepercayaan dan amalan agama yang berbeza.
“Kebimbangan timbul bahawa isu-isu sensitif seperti itu boleh membawa kepada ketegangan dan perpecahan, yang jelas bertentangan dengan usaha mengekalkan keamanan dan perpaduan negara.
“Menghormati kepercayaan agama lain adalah asas kepada perpaduan nasional. Isu agama perlu ditangani dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab agar tidak merosakkan hubungan antara kaum,” katanya dalam satu siaran media hari ini.
KPN turut mengingatkan rakyat Malaysia tentang pentingnya prinsip-prinsip Rukun Negara dijadikan panduan dalam kehidupan seharian, khususnya dalam memastikan hubungan harmoni di kalangan masyarakat pelbagai latar belakang.
Konsep Faham, Hormat, dan Terima perlu terus dijunjung dalam setiap interaksi sosial, lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat majmuk.
Saraswathy berkata, perpaduan yang dinikmati negara adalah hasil daripada usaha bersama yang telah lama dibina dan perlu dipertahankan.
“Keamanan dan kemajuan yang kita nikmati adalah hasil daripada perpaduan yang kukuh antara rakyat pelbagai kaum,” katanya lagi.
Saraswathy menyeru semua pihak untuk lebih berhati-hati dalam membuat sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh menggugat keharmonian negara.
“Hanya dengan perpaduan dan rasa hormat yang tinggi, Malaysia dapat terus kekal aman dan harmoni.
“Diharapkan isu sensitif seperti itu dapat diselesaikan dengan bijaksana demi menjamin masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






