Portugal singkir Sepanyol, Ronaldo ukir sejarah
MUNICH – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo, membantu negaranya menjulang piala Liga Negara-Negara Eropah buat kali kedua selepas menewaskan juara bertahan, Sepanyol, 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan di Stadium Allianz Arena, awal pagi tadi.
Perlawanan yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 selepas masa tambahan menyaksikan Ronaldo meledak gol ke-138 bersama skuad kebangsaan, sekali gus membawa perlawanan ke penentuan penalti.
“Kejayaan bersama Portugal sentiasa istimewa. Saya sudah memenangi banyak kejuaraan di peringkat kelab, tetapi tiada yang lebih membanggakan daripada menjulang trofi bersama negara sendiri,” kata Ronaldo dengan nada sebak kepada Sport TV.
Sepanyol, yang menampilkan persembahan cemerlang ketika menewaskan Perancis 5-4 dalam separuh akhir, dilihat sebagai pasukan pilihan selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sejak Mac 2023.
Skuad kendalian Luis de la Fuente itu tampak berada di landasan untuk menambah satu lagi kejuaraan selepas kejayaan mereka di Kejohanan Eropah tahun lalu apabila Martin Zubimendi meledak gol pembukaan pada minit ke-21.
Bagaimanapun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila pertahanan lincah Portugal, Nuno Mendes, menyamakan kedudukan hasil gerakan menarik yang dimulakan oleh Ronaldo.
Sepanyol kembali di depan sebelum rehat menerusi jaringan Mikel Oyarzabal yang menyudahkan hantaran cantik Pedri.
Pertembungan ‘El Clasico Iberia’ ini turut menarik perhatian dunia bola sepak sebagai pertembungan antara pengalaman dan generasi baharu apabila Ronaldo, 40, pemenang lima kali Ballon d’Or menentang bakat muda Sepanyol, Lamine Yamal, yang disebut-sebut sebagai calon utama anugerah individu tahun ini.
Namun, Yamal gagal menyerlah dalam perlawanan tersebut, manakala Ronaldo membuktikan kelas tersendiri apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-61 hasil jaringan dari jarak dekat, sekali gus membawa permainan ke masa tambahan dan akhirnya ke penentuan penalti yang memihak kepada Portugal.
Kemenangan ini bukan sahaja menyuntik semangat baharu buat Portugal, malah mengukuhkan lagi status Ronaldo sebagai legenda bola sepak antarabangsa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








