
Polis tumpas sindiket dadah di Pulau Pinang, dadah lebih RM155,000 dirampas
GEORGE TOWN — Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan sekumpulan lima lelaki warga tempatan dalam satu serbuan di sekitar negeri ini, semalam.
Dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang antara pukul 1.30 hingga 2.45 petang, sebanyak lima serbuan dilakukan dan lima suspek berusia antara 33 hingga 50 tahun ditahan.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, rampasan dadah melibatkan heroin seberat 9,736.20 gram dan syabu seberat 1,545.00 gram, dengan nilai pasaran dianggarkan RM155,010.00.
“Nilai keseluruhan sitaan termasuk harta disyaki hasil aktiviti jenayah dianggarkan sebanyak RM860,350.00,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Dua lelaki pertama ditahan di kawasan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah. Hasil pemeriksaan menemui 1 peket heroin (251 gram) dan 2 peket syabu (106 gram).
Susulan tangkapan itu, polis berjaya merampas dadah tambahan hasil panduan suspek berkenaan 21 peket heroin (9,485 gram), 1 peket syabu dalam beg plastik Chinese Pin Wei (1,030 gram) dan 4 peket syabu (409 gram).
Tangkapan susulan turut dibuat melibatkan tiga lagi lelaki tempatan yang dipercayai ahli sindiket di Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
Siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun 2024 dan menyasarkan pasaran tempatan. Polis percaya jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan untuk kira-kira 56,000 kali penggunaan.
Ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah, manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah lain.
Polis turut menyita tujuh buah kenderaan, barang kemas dan jam tangan mewah bernilai ratusan ribu ringgit di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988. Antara yang dirampas termasuk motosikal Honda Wave (RM4,500), Honda CR-V (RM130,000), Proton Wira (RM4,500), Proton Saga (RM33,000), Mercedes (RM178,000), Toyota Vellfire (RM173,000), Mazda (RM99,000), 2 utas rantai kekuningan (RM40,400) dan 2 utas rantai kekuningan dengan loket (RM115,050).
Polis akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian penuh sindiket ini dan menjejaki individu lain yang mungkin terlibat.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas dadah dan harta bernilai RM1,015,360 dalam satu serbuan baru-baru ini. Antara barang rampasan termasuk empat cincin emas kuning (RM39,550), gelang tangan emas kuning (RM33,350), jam tangan jenama Versace (RM4,000), dan jam tangan jenama Tag Heuer (RM6,000).
Tujuh individu yang ditahan telah direman selama tujuh hari bermula 18 April 2025 hingga 24 April 2025 bagi membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta 12 sebatan rotan.
PDRM akan terus meningkatkan usaha memerangi kegiatan pengedaran dadah dan akan bekerjasama dengan agensi lain untuk membanteras kegiatan ini habis-habisan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau jenayah narkotik boleh menyalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di talian hotline 012-2087222.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





