
Polis tahan ‘mumia’, rupanya lelaki ada masalah mental
SUNGAI BESAR – Seorang lelaki yang sebelum ini dirakam berpakaian seperti mumia dan berjalan kaki di Jalan Panchang Bedena menghala ke pekan Sungai Besar, sudah ditahan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Robin Guha Thakurta, siasatan mendapati lelaki berusia 25 tahun itu mengalami masalah mental.
“Polis mengesan mengesan perbuatan itu berdasarkan video yang tular di laman sosial, kira-kira pukul 10 pagi tadi.
“Bertindak atas maklumat, polis menahan individu terlibat di Parit 6, dekat sini.
“Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit mengalami masalah gangguan mental,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Berikutan itu, katanya, lelaki tersebut dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk rawatan lanjut dengan ditemani waris.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai terutama pengguna media sosial supaya terus menghubungi polis untuk menyalurkan maklumat dan tidak menyebarkan kandungan yang boleh mencetuskan kegusaran atau menggugat ketenteraman awam.
Laporan media sebelum ini memberitahu, penduduk di kawasan berkenaan digemparkan dengan kemunculan individu berpakaian seperti mumia sedang berjalan kaki di tengah jalan.
Keadaan itu dilihat membahayakan dirinya dan pengguna jalan raya lain kerana gelagatnya yang amat bersahaja.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |