Berita Semasa

Polis sudah kenal pasti anggota didakwa tawarkan ‘diskaun saman’ kepada pelancong UK

IPOH – Polis sudah mengenal pasti anggotanya yang dirakam menawarkan ‘diskaun’ saman trafik kepada pelancong pasangan warga United Kingdom (UK) dalam satu video yang menjadi tular sejak semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya sudah menemui pasangan tersebut dan mereka memberikan kerjasama sepenuhnya.

Beliau turut menambah, maklumat lanjut mengenainya akan dikemukakan menerusi satu siaran akhbar dalam masa terdekat.

“Sudah (kenal pasti). Nanti saya berikan siaran media,” katanya ringkas pagi tadi.

Mohd Yusri berkata demikian ketika ditanya pengesahan berhubung hantaran pasangan pelancong dari UK yang dikenali sebagai ‘UK Van Lifers’ itu di X, waktu tempatan malam tadi, yang menyatakan mereka sudah berhubung dengan polis Malaysia dan sedia memberikan kerjasama terhadap siasatan kes itu.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 17 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Video yang menjadi tular itu merakamkan perbuatan anggota polis itu yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga UK ketika ditahan bagi kesalahan memandu melebihi had laju.

Anggota terbabit mendakwa pasangan berkenaan memandu selaju 80 kilometer sejam (km/j), melebihi had laju di laluan itu iaitu 60 km/j, sebelum mengeluarkan saman.

Bagaimanapun, anggota polis itu kemudiannya menawarkan ‘diskaun’ saman berkenaan daripada RM300 menjadi RM100, jika dibayar terus kepadanya iaitu tanpa dibayar di balai polis.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button