
Polis rampas lebih 5,000 senjata tiruan bernilai RM4.16 juta
KUALA LUMPUR – Polis merampas sebanyak 5,051 laras senjata api tiruan dianggarkan bernilai lebih RM4.16 juta dalam serbuan ke atas tujuh premis di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Johor menerusi Op Taring Bravo 3 (Senjata Tiruan), semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Azmi Abu Kassim berkata, operasi khas bersepadu itu digerakkan oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) KDNKA dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa lain.
Menurutnya, serbuan pertama di dua premis di Kepong, Kuala Lumpur membawa kepada penahanan empat lelaki warga asing selain rampasan 4,983 laras senjata tiruan bernilai RM4.11 juta.
“Turut ditemukan di premis tersebut ialah 1,400 kotak makanan ringan yang melanggar Peraturan-Peraturan Makanan di bawah Akta Makanan 1983,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, serbuan kedua yang dilakukan di Bandar Baru Bangi, Selangor menyaksikan seorang lelaki tempatan ditahan dan 53 laras senjata tiruan bernilai RM31,520 dirampas.
“Serbuan ketiga pula di Batu Pahat, Johor membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki tempatan serta rampasan 15 laras senjata tiruan,” ujarnya.
Siasatan awal mendapati kesemua senjata tersebut disimpan untuk dijual kepada orang awam melalui platform dalam talian tanpa sebarang lesen sah daripada pihak berkuasa.
Azmi menegaskan, tindakan tegas perlu diambil kerana terdapat insiden jenayah terdahulu melibatkan penggunaan senjata tiruan untuk menimbulkan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli atau menyimpan senjata tiruan serta melaporkan kepada pihak polis sekiranya mengetahui aktiviti penjualannya,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 6(1)(C) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39B Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Turut disiasat di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2016, Seksyen 26(1)(A) Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982 dan Peraturan 32B Peraturan-Peraturan Makanan 2007.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |