Polis perlu jelas isu pemeriksaan telefon – Saifuddin
PUTRAJAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, akan bertemu dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi menjelaskan langkah pemeriksaan telefon bimbit oleh pihak polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pertemuan itu penting untuk memberikan penerangan menyeluruh kepada SUHAKAM mengenai bidang tugas polis berkaitan pemeriksaan tersebut.
Menurutnya, perbincangan antara pihak polis dan SUHAKAM adalah penting untuk memastikan isu ini ditangani secara adil dan seimbang.
“Biar ada pertukaran pandangan bagi perspektif yang lebih tepat mengenai bagaimana penguat kuasa undang-undang terbesar di negara ini melaksanakan langkah tersebut.
“SUHAKAM pula boleh memahami konteks tugasan polis dengan lebih baik,” katannya pada sidang media selepas meninjau persediaan Sidang Kemuncak Pencegahan Jenayah Siber dan Ekspo (AISSE’25), di sini hari ini.
Saifuddin turut berkata, SUHAKAM juga perlu menangani isu ini dari sudut pandang hak asasi manusia sambil menggalakkan masyarakat membuat laporan sekiranya berlaku pelanggaran hak.
Semalam, SUHAKAM mengeluarkan kenyataan bahawa pemeriksaan telefon bimbit secara sewenang-wenangnya oleh polis semasa sekatan jalan raya boleh dianggap melanggar hak asasi manusia.
SUHAKAM turut menyeru orang ramai supaya lebih peka terhadap hak mereka, khususnya apabila ditahan, disoal siasat atau diperiksa oleh pihak berkuasa.
Dalam pada itu, Razarudin menjelaskan bahawa polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit seseorang berdasarkan Seksyen 23(1) dan 116B Kanun Tatacara Jenayah, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, serta Akta Polis.
Beliau menegaskan, pemeriksaan hanya dilakukan berdasarkan syak wasangka yang munasabah, termasuk melibatkan kes keganasan.
Saifuddin berkata, pemeriksaan telefon bimbit bukan dilakukan secara sewenang-wenangnya, sebaliknya berdasarkan prosedur yang sah.
“Jika berlaku individu yang tiba-tiba diperiksa telefon bimbit tanpa asas, kita perlu tangani isu itu. Sebarang keputusan pemeriksaan mesti ada asas kukuh,” katanya lagi.
Beliau turut menekankan, perbincangan dengan SUHAKAM akan memastikan isu itu tidak disalah tafsir dan memberikan keadilan kepada semua pihak.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






