Polis bakal guna skuter elektrik untuk perketat kawalan di KLIA
SEPANG – Polis mencadangkan supaya kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikaji semula susulan kejadian tembakan di balai ketibaan lapangan terbang itu, awal pagi semalam.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata ketika ini orang awam boleh memasuki lapangan terbang itu tanpa sebarang kawalan keselamatan yang ketat.
Jelas beliau, sebarang insiden yang tidak diingini boleh berlaku pada bila-bila masa di KLIA, tidak seperti di lapangan terbang luar negara, pengunjung perlu melalui mesin pengimbas terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki kawasan lapangan terbang.
“Ini suatu perkara yang polis mahu lihat supaya ia lebih ke hadapan,” katanya pada sidang media pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA di sini hari ini.
Pada majlis itu, Asisten Komisioner Azman Shari’at menerima serah tugas bagi menerajui Ketua IPD KLIA yang baharu daripada Asisten Komisioner Imran Abd Rahman yang bertukar ke Bukit Aman.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi semalam seorang lelaki cedera selepas terkena tembakan yang dilepaskan suspek, dikenali sebagai Hafizul Marawi.
Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai cuba menembak isterinya namun sempat diselamatkan pengawal peribadi terbabit.
Bagaimanapun, pengawal peribadi itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, mengalami kecederaan parah dan kini terpaksa ditidurkan oleh pihak hospital.
Mengulas mengenai penambahbaikan aspek keselamatan di KLIA, pihak polis akan menggunakan skuter elektrik yang mampu meningkatkan keluasan kawasan rondaan pihak polis.
Katanya, pembelian skuter berkenaan
sudah dirancang dan dipersetujui pembeliannya oleh Kerajaan Selangor dan akan diperoleh dalam masa terdekat bagi kegunaan polis khusus di KLIA.
Tambah Hussein, polis juga mencadangkan agar lorong berhampiran pintu masuk ke lapangan terbang ditutup kepada orang awam sama ada di bahagian ketibaan atau pelepasan.
“Tindakan yang dilakukan polis dan pihak berkuasa lapangan terbang ketika kejadian juga adalah baik kerana berjaya mengawal keadaan dengan segera bagi menghindarkan kejadian lebih buruk dengan mengasingkan suspek yang terlibat dan mengembalikan keselamatan pengunjung dengan segera,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






